BERITA TERKINI   Polis belum terima laporan dakwaan Victor Chin berkaitan Ahli Parlimen minta bayaran RM10 juta bagi bantu selesai isu manipulasi korporat - Bukit Aman | Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April | Capital A sedang teroka potensi dwipenyenaraian di Hong Kong pada suku ketiga 2026, dan teruskan rancangan untuk senaraikan AirAsia NEXT di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun - Tony Fernandes | Capital A sasar keluar daripada status PN17 selepas catat untung empat suku tahunan berturut-turut - Tony Fernandes | Op Viking: Ahli perniagaan Victor Chin antara 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram - Polis | 

Sime Darby Property Yakin Capai Sasaran Jualan RM3.6 Bilion Dan GDV RM4 Bilion

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan RM3.6 bilion dan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dalam pelancaran sebanyak RM4 bilion untuk tahun kewangan 2025.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Azmir Merican berkata syarikat itu mencatatkan jualan RM3.4 bilion dalam sembilan bulan pertama 2025, mewakili 93 peratus sasaran jualan tahun penuh untuk tahun kewangan 2025, manakala GDV dalam pelancaran mencapai RM2.5 bilion dalam tempoh yang sama.

"Kami baru saja mencatatkan hasil jualan sembilan bulan tertinggi pada RM3.4 bilion, yang sebenarnya menghampiri sasaran tahun penuh kami pada 93 peratus daripada RM3.6 bilion dan ini adalah keputusan yang amat mantap.

"Selain itu, RM1.5 bilion dalam GDV dengan 1,160 unit pembangunan perbandaran dan pembangunan bersepadu dijangka akan dilancarkan pada suku keempat 2025," katanya melalui satu taklimat media maya berikutan pengumuman keputusan kewangan Sime Darby Property Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025.

Pemaju hartanah itu telah mengekalkan momentum merentasi portfolio produk yang pelbagai dengan pertumbuhan yang mantap daripada segmen pembangunan hartanah di 26 perbandaran, didorong oleh campuran yang amat baik dalam produk kediaman, perindustrian dan komersial.

Beliau menambah segmen runcitnya turut meningkat, disokong oleh tiga pusat membeli-belah yang dimiliki sepenuhnya iaitu KL East, Elmina Lakeside Mall dan Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) Mall.

Selain itu, beliau berkata, Sime Darby Property kini memiliki bank tanah seluas 4,492 hektar dengan lebih daripada RM100 bilion dalam GDV.

Kumpulan itu sedang mengoptimumkan bank tanah yang berpusat di Lembah Klang dengan memberi tumpuan kepada projek bertingkat tinggi dan mempercepatkan pelancaran perindustriannya. 

 

Syarikat itu kini memberi tumpuan ke atas perkembangannya ke dalam kelas aset pusat data (DC) berpertumbuhan tinggi membabitkan dua DC "hyperscale" di Elmina Business Park yang merangkumi 50.99 hektar yang akan mengukuhkan portfolio pendapatan berulangnya sejajar dengan strategi SHIFT25 pemaju hartanah itu.

"Kami sedang menterjemahkan nilai pajakan terjamin sebanyak RM7.6 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang," katanya lagi.

-- BERNAMA