BERITA TERKINI   Bekas KP APAD Datuk Azlan Shah Al Bakri dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB baharu berkuat kuasa esok - KTMB | Sekatan sementara ke atas Grok susulan penyalahgunaan untuk menjana kandungan lucah termasuk melibatkan kanak-kanak - MCMC | MCMC arah sekatan sementara ke atas akses Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari ini | Pergolakan di Iran: Semua rakyat Malaysia berdaftar di Iran selamat, Wisma Putra nasihat tangguh perjalanan tidak penting | 

Pertemuan Dengan Pengerusi Suruhanjaya AU, Syarahan Khas Warnai Hari Terakhir Lawatan PM Di Ethiopia

Daripada SARASWATHI D/O MUNIAPPAN

ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadual bertemu Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika Mahmoud Ali Youssouf dari Djibouti, sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi beliau ke Ethiopia.

Kesatuan Afrika (AU) yang dianggotai 55 negara, ditubuhkan pada Julai 2002 berfungsi sebagai sebagai suara yang mewakili benua itu di peringkat global, selain berperanan penting dalam menggalakkan kerjasama antarabangsa. 

Pertemuan itu merupakan antara acara utama dalam rangka lawatan rasmi tiga hari Anwar ke Ethiopia yang berakhir hari ini.

Selesai pertemuan itu, Anwar dijadualkan menyampaikan syarahan khas bertemakan ‘Menghubungkan Peradaban, Membina Masa Hadapan: Memperkukuh Kerjasama Afro-Malaysia demi Kemakmuran Bersama’ kepada Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Ethiopia.

Lawatan tiga hari Perdana Menteri ke negara itu dijadual diakhiri dengan menerima kunjungan hormat Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Ethiopia. 

Ethiopia merupakan negara berbilang etnik merangkumi lebih 80 kumpulan etnik, dengan penganut Kristian membentuk majoriti diikuti Islam.

Setelah berakhir program di Addis Ababa, Anwar akan berangkat ke Johannesburg, Afrika Selatan, mulai hari ini hingga 23 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20. Beliau kemudian dijadual meneruskan lawatan kerja ke Nairobi, Kenya, dari 23 hingga 24 November sebelum kembali ke tanah air.

Lawatan Anwar ke Ethiopia, yang merupakan kunjungan pertama oleh Perdana Menteri Malaysia juga bagi membalas lawatan Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.

Kunjungan berkenaan turut bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Ethiopia yang terjalin sejak Januari 1965.

-- BERNAMA