BERITA TERKINI   JIM akan mula mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu dilengkapi 94 ciri keselamatan pada 1 Jun - KP Imigresen | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 51 peratus kepada RM27.73 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM18.31 bilion sebelum ini | 15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat ini - KP SNCC | 10 kapal dijangka tiba berhampiran pantai Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam jika tidak berdepan gangguan - KP SNCC | 10 kapal kini dalam pelayaran di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza - KP SNCC | 

TIV Sektor Automotif Naik 30 Peratus Pada Oktober, Tertinggi Setakat Tahun Ini -- MAA

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV)  sektor automotif Malaysia meningkat 30 peratus kepada 75,992 unit pada Oktober 2025 daripada 58,490 unit pada September, mencatatkan bulan tertinggi setakat tahun ini, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Dalam satu kenyataan hari ini, MAA berkata peningkatan TIV tersebut terutamanya dipacu oleh tindakan orang ramai yang pantas membeli kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) yang diimport sepenuhnya (CBU).

Pembelian pantas itu berlaku selepas pengumuman Belanjawan 2026 mengenai tamatnya pengecualian cukai bagi CBU BEV pada penghujung Disember tahun ini.

Ia berkata pertumbuhan tersebut turut disokong oleh kempen promosi akhir tahun yang agresif oleh syarikat automotif.

Namun, MAA memaklumkan TIV setakat tahun ini dua peratus lebih rendah iaitu 655,328 unit daripada 667,568 unit pada tempoh yang sama 2024.

Dari segi tahunan, TIV pada Oktober 2025 tujuh peratus lebih tinggi iaitu 75,992 unit, terdiri daripada 70,321 kenderaan penumpang dan 5,671 kenderaan komersial daripada 71,685 unit pada bulan yang sama tahun lepas.

Bagi pengeluaran, sebanyak 65,226 unit dihasilkan termasuk 61,192 kenderaan penumpang dan 4,034 kenderaan komersial daripada 71,878 unit setahun yang lepas.

Memandang ke hadapan, MAA berkata momentum jualan semasa dijangka berterusan pada November 2025.

-- BERNAMA