BERITA TERKINI   Sukan Para ASEAN Malaysia akan berlangsung pada 17 hingga 23 Okt 2027 - Hannah Yeoh | Sukan SEA Malaysia 2027 akan berlangsung pada 18 hingga 29 Sept 2027 - Hannah Yeoh | N. Sembilan beri bantuan khas kewangan maksimum tiga bulan gaji dan minimum dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri tahun depan - MB | Orang ramai diingatkan buat perancangan bersesuaian hadapi MTL yang dijangka berlaku di beberapa negeri - Fahmi | Jemaah Menteri zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Bung Moktar - Fahmi | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Diasak Sentimen Elak Risiko

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini di tengah-tengah sentimen mengelak risiko yang ketara apabila pelabur tidak lagi menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah pada Disember ini.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata berdasarkan unjuran kadar faedah,  kemungkinan penurunan itu diputuskan dalam mesyuarat Fed bulan depan, telah merosot kepada kira-kira 40 peratus daripada 60 peratus sebelum ini.

“Apabila risiko jualan pasaran (ketara) disebabkan reaksi pelonggaran dasar yang mulai reda, emas lazimnya menjadi penerima impak yang menyaksikannya diniagakan rendah pada hari ini.

“Elemen bagi pembelian emas -- belian oleh bank-bank pusat, kebimbangan fiskal dan prestasi kukuh setakat tahun ini belum lagi berakhir. Namun, dalam fasa kitaran ini, peniaga telah bertindak mengurangkan pendedahan secara meluas yang menyebabkan emas menerima kesan akibat langkah makro itu,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Innes berkata walaupun sentimen mengelak risiko itu lazimnya memberi sokongan terhadap emas, namun realiti semasa lebih didorong oleh faktor penetapan semula harga berbanding kebimbangan terhadap prospeknya.

 “Ini sudah pasti memberi kesan dan menjadi punca mengapa emas terjejas walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu,” katanya.

Kontrak bulan semerta November 2025 susut kepada US$4,039.50 setiap auns troy daripada US$4,088.50 setiap auns troy manakala Disember 2025 turun kepada US$4,056.70 daripada US$4,105.70 setiap auns troy dan Januari 2026 berkurangan kepada US$4,074.70 daripada US$4,124.30.

Kontrak Februari, April dan Jun 2026 juga ditutup rendah pada US$4,090.20 setiap auns troy daripada US$4,139.80 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 31 lot daripada 13 lot semalam dan kepentingan terbuka melonjak kepada 68 kontrak daripada 48 kontrak.

Emas fizikal pula diniagakan pada US$4,072.50 setiap auns troy sebagaimana mengikut penetapan pasaran London Bullion Market Association pada 17 November 2025.

-- BERNAMA