BERITA TERKINI   Untung bersih Petronas Gas bagi tahun kewangan 2025 turun kepada RM1.72 bilion daripada RM1.83 bilion pada tahun kewangan 2024 | Perolehan MISC Bhd susut kepada RM11.15 bilion pada tahun kewangan 2025 daripada RM13.24 bilion tahun sebelumnya susulan pendapatan rendah segmen marin, kejuruteraan berat  | Untung bersih MISC Bhd meningkat kepada RM1.7 bulan pada tahun kewangan 2025 daripada RM1.19 bilion tahun sebelumnya | Petronas Dagangan isytihar dividen interim 26 sen dan dividen khas 20 sen bagi suku keempat 2025 | Untung bersih Petronas Dagangan Bhd meningkat kepada RM1.10 bilion pada tahun kewangan 2025 daripada RM1.09 bilion tahun sebelumnya | 

PIDM Lantik Abu Huraira Abu Yazid Sebagai Pengerusi Berkuat Kuasa 15 November

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melantik Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai pengerusi berkuat kuasa 15 Nov 2025 bagi menggantikan Datuk Seri Zukri Samat yang bersara.

Menurut PIDM dalam kenyataan hari ini, Abu Huraira mempunyai pengalaman kepimpinan yang luas dalam sektor awam dan industri kewangan dengan kepakaran dalam operasi perbankan, pengurusan risiko dan tadbir urus kewangan.

“Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Bhd serta memegang pelbagai jawatan utama di institusi kewangan di Malaysia termasuk sebagai Ahli Lembaga Pengarah United Overseas Bank (M) Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Simpanan Nasional,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Abu Huraira kini merupakan Pengerusi MISC Bhd, Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Bhd dan Pengerusi Malaysian Maritime Academy Sdn Bhd.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) daripada Universiti Malaya.

CEO PIDM Rafiz Azuan Abdullah berkata Abu Huraira dapat menyumbang kepada hala tuju strategik dan kemantapan tadbir urus PIDM ke arah memenuhi mandatnya dalam menggalakkan kestabilan sistem kewangan.

-- BERNAMA