BERITA TERKINI   SPR terima pemakluman kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar | 511,544 unit Rumah Mampu Milik telah siap setakat 30 Sept, lepasi sasaran 500,000 unit yang ditetapkan di bawah RMKe-12 - Nga | KPKT lulus peruntukan hampir RM82 juta bagi pembinaan Program Residensi Rakyat pertama di Johor, yang akan dibangunkan di Larkin - Nga Kor Ming | Bantuan khas RM500 diberikan kepada penjawat awam Perlis termasuk kakitangan kontrak, bayaran dibuat Januari 2026 - MB Perlis | Gempa bumi di Jepun: Rakyat Malaysia diminta mendaftar kehadiran mereka dengan Kedutaan Malaysia di Tokyo bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan - Wisma Putra | 

Pengeluar Keretapi China Puji Industri Kimpalan Di Malaysia

Daripada Rohani Mohd Ibrahim

PANZHIHUA (Sichuan, China), 17 Nov (Bernama) -- Pengeluar produk kereta api China memuji piawaian tinggi industri kimpalan di Malaysia dan berkata tahap kepakaran tersebut menghapuskan keperluan syarikat untuk menggunakan pasukan teknikalnya semasa mengeksport relnya ke Malaysia.

Timbalan Ketua Stesen bagi Kilang Rel dan Rasuk Pangang Group Steel Vanadium & Titanium Co Ltd, LV Panfeng berkata Pangang Group telah mengeksport rel ke Malaysia setiap bulan sejak 10 tahun lepas.

“Kebiasaannya, apabila kami menghantar eksport kami, pasukan teknikal kami akan pergi ke negara tertentu, tetapi untuk Malaysia, penduduk tempatan sangat mahir dalam kerja-kerja kimpalan,” katanya ketika ditemui Bernama semasa lawatan wartawan Asia Pasifik ke Pangang Group baru-baru ini.

Pangang Group, pengeluar vanadium terbesar di dunia, bergabung dengan Ansteel Group Corp Ltd pada 2010.

Malaysia disenaraikan sebagai salah satu jejak perniagaan antarabangsa Pangang Group pada peta yang dipaparkan di kilang Pangang Group itu.

Semasa taklimatnya kepada wartawan Asia Pasifik, beliau berkata Pangang Group terlibat dalam beberapa projek di Asia, termasuk landasan kereta api China-Laos dan kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan.

Projek lain di Asia ialah landasan kereta api di Sri Lanka.

Pangang Group terbuka untuk lebih banyak kerjasama di ASEAN dan negara-negara Asia untuk mengembangkan pasaran antarabangsanya, kata Panfeng.

Produk kilang itu dikenali sebagai Panzhihua Brand Rails, digunakan dalam landasan kereta api berkelajuan tinggi dan pengangkutan berat China, termasuk di kawasan dataran tinggi dan musim sejuk seperti Kereta Api Qinghai-Tibet.

Kilang itu menghasilkan pelbagai produk rel, termasuk untuk rel berkelajuan tinggi, aplikasi pengangkutan berat, suis dan rel kren dan mengeksport produknya ke 38 negara di seluruh dunia.

-- BERNAMA