BERITA TERKINI   Cadangan Bekerja Dari Rumah buat masa ini tidak libatkan sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan - Fahmi | Tiada paksaan untuk sektor swasta laksanakan BDR -- Fahmi | Sambutan Hari TVET Negara diadakan 5 hingga 7 Jun 2026 di Dataran Putrajaya - Fahmi | PM Anwar ulangi seruan agar rakyat berbelanja secara berhemah meraikan Syawal  | Kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada kebankrapan secara 'fast track' sempena Aidilfitri, - PM Anwar | 

Kontrak Niaga Hadapan KLCI Dijangka Alami Dagangan Secara Berhati-hati Minggu Depan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami dagangan secara berhati-hati minggu hadapan, menjejaki prestasi pasaran tunai.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata peserta pasaran optimis namun berhati-hati memandangkan penilaian saham tempatan yang saksama.

Beliau berkata walaupun penilaian saham Amerika Syarikat (AS) adalah tinggi namun saham Asia agak lebih murah.

Beliau berkata memandangkan pelabur mengurangkan pendedahan kepada penilaian yang terlalu tinggi dalam sektor teknologi AS, pasaran serantau sebaliknya menawarkan harga lebih berpatutan, keterlihatan pendapatan yang kukuh, serta keadaan makro yang menyokong sekali gus berpotensi menarik minat baharu.

“Malaysia, khususnya, menyerlah dengan komposisi sektor defensif dan sentimen domestik yang semakin baik, menjadikannya antara penerima manfaat daripada perubahan ini.

“Oleh itu, kami menjangkakan aktiviti pembelian semasa harga murah berlaku dan indeks didagangkan dalam julat 1,620 hingga 1,650 minggu hadapan,” katanya kepada Bernama.

Berasaskan mingguan, November 2025 susut satu mata kepada 1,623.5; Disember 2025 turun setengah mata kepada 1,623.5; Mac 2026 naik setengah mata kepada 1,606.5 dan Jun 2026 meningkat 1.5 mata kepada 1,611.0.

Jumlah dagangan minggu ini meningkat kepada 37,102 lot daripada 35,662 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 50,184 kontrak daripada 48,367 kontrak.

Bagi Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 6.54 mata kepada 1,625.67 daripada 1,619.13 minggu lepas.

-- BERNAMA