Penerimaan Tadbir Urus Korporat Syarikat Awam Tersenarai Malaysia Kini Lebih Baik -- SC

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menerbitkan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2025 (CG Monitor) yang menunjukkan kemajuan berterusan syarikat awam tersenarai (PLC) dalam penerimaan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

Dalam kenyataannya, SC berkata ia akan turut menyemak semula MCCG yang kali terakhir dikemaskini pada 2021, sebagaimana dirancang untuk tahun depan.

Laporan CG Monitor itu, katanya, memberi pandangan berasaskan data untuk membimbing intervensi yang disasarkan selain memaklumkan penambahbaikan dasar menjelang semakan semula MCCG.

SC berkata antara dapatan utama daripada Laporan CG Monitor itu adalah tahap penerimaan yang kekal positif dengan 33 daripada 48 amalan terbaik mencatatkan tahap penerimaan sekurang-kurangnya 90 peratus (2024: 30 amalan). 

“Tadbir urus Lembaga Pengarah menunjukkan peningkatan ketara, termasuk trend penurunan pengerusi yang berkhidmat dalam jawatankuasa Lembaga.

“Pada masa ini, 73 peratus PLC tidak lagi menyaksikan pengerusi Lembaga mereka menganggotai jawatankuasa (2024: 63 peratus) yang mencerminkan semakan dan imbangan lebih kukuh serta usaha untuk mengurangkan risiko semakan kendiri,” katanya.

Selain itu, CG Monitor juga menunjukkan kemajuan dari segi kepelbagaian Lembaga Pengarah dengan  34.1 peratus wanita menyandang jawatan pengarah dalam kelompok 100 PLC teratas manakala 28.7 peratus merentasi semua PLC.

“Bagaimanapun, hanya 45 peratus daripada PLC yang telah mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita dalam Lembaga Pengarah masing-masing,” katanya.

Dari segi pendedahan imbuhan eksekutif, hanya lima peratus PLC mendedahkan imbuhan terperinci pengurusan kanan mereka.

Sementara itu, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata penciptaan nilai kekal sebagai objektif utama tadbir urus korporat yang baik.

“Seiring usaha syarikat-syarikat ke sempadan baharu, Lembaga Pengarah semakin menerapkan keutamaan berorientasikan masa depan seperti transformasi digital, tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dalam pengawasan mereka.

“Adalah penting bagi pilihan teknologi hari ini membawa implikasi strategik, etika dan akauntabiliti yang memerlukan perhatian Lembaga Pengarah yang melangkaui lensa IT tradisional,” katanya.

Dalam pada itu, SC berkata pandangan CG Monitor 2025 juga akan memberi panduan terhadap cadangan semakan MCCG yang bertujuan memperkukuh bidang utama seperti kepimpinan dan keberkesanan Lembaga Pengarah, tadbir urus teknologi, pengawasan risiko dan penglibatan pihak berkepentingan.

-- BERNAMA