BERITA TERKINI   58 ditahan terlibat pertaruhan haram dan judi dalam talian sempena Piala Dunia - Bukit Aman | ASEAN dan Rusia punyai ruang yang luas memperkukuh kerjasama berasaskan hormat, manfaat bersama - PM Anwar | Keamanan berkekalan dicapai menerusi rundingan, persefahaman, menghormati undang-undang antarabangsa - PM Anwar | Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 perkukuh tindakan terhadap tonto, lumba haram - Loke | Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentang di Dewan Rakyat Isnin depan -Loke | 

MITI Harap Pengganti Akan Teruskan Legasi Kepimpinan Tengku Zafrul - Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berharap sesiapa juga yang akan menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selepas tempoh perkhidmatan beliau berakhir pada 2 Disember 2025, akan meneruskan usaha cemerlang kepimpinannya.

Timbalan Menterinya Liew Chin Tong berkata Tengku Zafrul telah menetapkan penanda aras yang tinggi dan MITI berharap Menteri yang dilantik seterusnya akan terus meningkatkan industri Malaysia, memperkukuh hubungan perdagangan negara dan menambah baik ekosistem pelaburan.

“Memang, dalam tempoh tiga tahun ini, Tengku Zafrul telah menunjukkan bahawa MITI memainkan peranan penting dalam menjayakan industri kita, memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara lain dan menggalakkan pelaburan ke dalam negara di bawah kepimpinannya. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul bagi pihak MITI dan juga rakyat Malaysia atas kepimpinannya,” katanya kepada media selepas merasmikan MITI Asean Day 2025, di sini, hari ini.

Hari terakhir Tengku Zafrul bersama kementerian itu serentak dengan berakhirnya perkhidmatan beliau di Dewan Negara.

Tengku Zafrul, yang telah berkhidmat sebagai senator selama dua penggal sejak 2020, akan menamatkan tempoh perkhidmatannya selama enam tahun di Dewan Negara pada 2 Disember depan.

-- BERNAMA