BERITA TERKINI   Ringgit ditutup rendah kepada 3.9440/9495 berbanding dolar AS daripada 3.9225/9295 pada Isnin | Kerajaan tidak tolak ansur sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam, khususnya kitab suci al-Quran - PMO | Isu hina al-Quran: PMO seru rakyat rujuk sumber benar, boleh dipercayai sebelum kongsi maklumat | Program Jualan Rahmah MADANI diteruskan sepanjang Ramadan - PMO | PM Anwar mahu KPDN perhebat Ops Pantau 2026 termasuk di bazar Ramadan - PMO | 

IPO Polymer Link Terlebih Langgan 48.74 Kali

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO) Polymer Link Holdings Bhd telah terlebih langgan sebanyak 48.74 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 25 Nov.

Syarikat itu melalui satu kenyataan hari ini berkata sejumlah 11,360 permohonan membabitkan 1.39 bilion saham terbitan bernilai RM348.21 juta telah diterima daripada orang awam Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langgan keseluruhan sebanyak 48.74 kali.

"Bagi bahagian Bumiputera, sejumlah 6,238 permohonan untuk 718.59 juta saham terbitan telah diterima, yang mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 50.33 kali," katanya.

Sejumlah 5,122 permohonan untuk bahagian awam telah diterima, melibatkan 674.25 juta saham terbitan mencerminkan kadar terlebih langgan sebanyak 47.16 kali

Menurut pengeluar plastik itu, IPO yang terdiri daripada 121.23 juta saham biasa itu merangkumi terbitan awam sebanyak 97.15 juta saham biasa baharu pada harga tawaran berjumlah 25 sen sesaham dan tawaran untuk penjualan 24.08 juta saham sedia ada.

Sebanyak 28 juta saham atau 5.0 peratus daripada modal saham terbitan kumpulan yang diperbesarkan akan disediakan kepada orang awam, dengan 2.5 peratus diperuntukan kepada pelabur awam bukan Bumiputera dan bakinya kepada pelabur awam Bumiputera.

Sejumlah 4.44 juta saham (0.8 peratus) telah diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan yang layak, manakala 64.71 juta saham IPO (11.5 peratus) dan tawaran untuk penjualan 24.08 juta saham sedia ada (4.3 peratus) akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Sementara itu, Polymer Link menjelaskan 4.44 juta saham terbitan telah dilanggan sepenuhnya dan 88.79 juta saham yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dilanggan habis.

IPO kumpulan tersebut dijangka akan mengumpulkan hasil sebanyak RM24.3 juta.

Hong Leong Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO itu, manakala DWA Advisory Sdn Bhd adalah penasihat kewangannya.

-- BERNAMA