BERITA TERKINI   PRN : Parti tempatan dan nasional perlu berkerjasama untuk majukan Sabah - PM Anwar | Beregu badminton wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah muncul juara Masters Jepun 2025 | Kerajaan Persekutuan serius bela nasib pekerja gig dan anak muda Sabah – TPM Ahmad Zahid | TPM Ahmad Zahid gesa anak muda Sabah jadi pemacu kestabilan politik dan kemajuan negeri | Media bebas kritik, tetapi masa sama siarkan jawapan daripada kerajaan - PM Anwar | 

MoF Teliti Potensi Syarikat Tempatan Dalam Projek Kereta Api RM10.7 Bln Dengan China

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan masih belum memuktamadkan penglibatan mana-mana syarikat tempatan dalam projek sewaan set kereta api dengan syarikat dari China, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian itu berkata kerajaan berhasrat untuk mencalonkan syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan untuk memangkin ekosistem industri rel negara terutamanya dalam membangunkan kandungan tempatan.

“Satu usaha wajar sedang dilaksanakan antaranya untuk mengenal pasti keupayaan projek itu dalam memenuhi objektif strategik negara, penentuan daya maju komersial dan pematuhan terhadap obligasi tadbir urus korporat syarikat,” kata kementerian berkenaan.

Menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri), MoF juga berkata peranan serta peratusan kawalan atau pemilikan syarikat tempatan dalam pengoperasian dan pemilikan aset dalam projek pajakan kereta api ini akan ditentukan selepas usaha wajar selesai dilaksanakan.

Tan ingin tahu sama ada UEM Group Bhd mempunyai rancangan dalam rundingan daripada sebahagian projek sewaan 62 set kereta api dengan CRRC Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn Bhd termasuk penglibatan dalam pembuatan, penyelenggaraan atau pengurusan serta pemilikan dalam pengoperasian dan pemilikan aset syarikat kereta api.

Terdahulu, media tempatan melaporkan UEM Group telah diberi mandat oleh kerajaan Persekutuan untuk memperoleh 51 peratus kepentingan dalam CRRC RSC, sebuah syarikat China. Perjanjian ini berkaitan dengan rancangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk memajak 62 set kereta api penumpang baharu dengan kos RM10.7 bilion dalam tempoh 30 tahun.

-- BERNAMA