Pembangunan EV Perodua Cermin Komitmen Malaysia Terhadap Teknologi Hijau - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) - Pembangunan model kenderaan elektrik (EV) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan memperkukuh keupayaan industri automotif nasional serta mencerminkan komitmen negara terhadap teknologi hijau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pembangunan EV itu turut menunjukkan komitmen terhadap penciptaan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan dan penawaran produk yang berpatutan serta berimpak sosial tinggi.
“Hari ini berpeluang meninjau operasi serta bertemu tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kejayaan Perodua atau “King of the Road” di Sungai Choh, Rawang, Selangor.
“Dalam sesi taklimat, saya turut diberi penerangan mengenai prestasi semasa serta perancangan pelancaran model EV pertama Perodua yang bakal diluncurkan tidak lama lagi,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman sosial X hari ini.
Anwar berkata inisiatif ini bertepatan dengan semangat Malaysia MADANI, yang menekankan kemajuan berpaksikan nilai mampan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.
“Usaha ini memperlihatkan bahawa kemajuan ekonomi dan nilai kemanusiaan boleh bergerak seiring bahawa inovasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukan pilihan yang berbeza, tetapi dua sisi dalam satu aspirasi negara MADANI yang menjuarai ekonomi hijau dan berdaya saing,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata beliau yakin Perodua akan terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem automotif negara dan memacu Malaysia ke arah masa depan mobiliti yang lebih lestari, berdaya cipta dan berjiwa rakyat.
-- BERNAMA