BERITA TERKINI   SPR terima pemakluman kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar | 511,544 unit Rumah Mampu Milik telah siap setakat 30 Sept, lepasi sasaran 500,000 unit yang ditetapkan di bawah RMKe-12 - Nga | KPKT lulus peruntukan hampir RM82 juta bagi pembinaan Program Residensi Rakyat pertama di Johor, yang akan dibangunkan di Larkin - Nga Kor Ming | Bantuan khas RM500 diberikan kepada penjawat awam Perlis termasuk kakitangan kontrak, bayaran dibuat Januari 2026 - MB Perlis | Gempa bumi di Jepun: Rakyat Malaysia diminta mendaftar kehadiran mereka dengan Kedutaan Malaysia di Tokyo bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan - Wisma Putra | 

BTC Maju Sasar Tembusi Pasaran China, Arab Saudi Dengan Produk Peria Goreng

Oleh Amanina Mohamad Yusof

SHANGHAI, 9 Nov (Bernama) -- BTC Maju Holding Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan BTC Bhd menyasarkan peningkatan jualan tahunan kepada RM10 juta pada tahun depan daripada RM2 juta pada masa ini, seiring dengan usaha memperluas pasaran eksport ke China dan Arab Saudi menerusi produk inovatif berasaskan peria.

Pengarah Makanan dan Minuman BTC Maju Syukur Salleh berkata penyertaan pertama BTC Maju di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai (MIHAS@Shanghai) membuka peluang besar untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya China yang mempunyai lebih 20 juta penduduk Muslim.

“Melalui MIHAS@Shanghai, kami dapat memperkenalkan produk kepada bakal pembeli secara terus dan mereka dapat merasa sendiri peria goreng kami.

“Produk makanan keluaran kami menggunakan teknologi retort bagi mengekalkan kualiti dan jangka hayat produk,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada MIHAS@Shanghai, yang diadakan bersempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC) di sini. Ia berlangsung selama enam hari bermula Rabu lepas.

CIIE ialah inisiatif kerajaan China yang menyediakan platform mengimport barangan dari luar negara sejajar dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), sekali gus memberi impak positif dan peluang kepada pengeksport Malaysia untuk berjumpa pembeli dari seluruh wilayah China.

Selain peria goreng, Syukur berkata syarikat turut merancang memperkenalkan produk lain seperti sambal nasi lemak, sambal belacan dan sambal tomato penyet untuk pasaran China.

Beliau berkata semasa ekspo itu, syarikat telah berjumpa sekurang-kurangnya lima pembeli berpotensi dari China.

“Jika semuanya lancar, kami berharap penghantaran pertama ke China dapat dibuat pada tahun depan, insya-Allah,” katanya, sambil menambah BTC Maju turut menyasarkan pasaran Mauritius dan Australia dalam masa terdekat.

“Selain China, kami juga menyasarkan pasaran Arab Saudi. Kami diberitahu bahawa pengguna di rantau Timur Tengah menggemari makanan ringan seperti kerepek dan snek, justeru, peria goreng kami sesuai untuk pasaran itu,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penyertaan di MIHAS@Shanghai sebagai platform terbaik untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia meneroka pasaran luar negara.

“Pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) banyak membantu dari segi panduan, maklumat pasaran dan padanan perniagaan dengan pembeli premium,” katanya.

MIHAS@Shanghai 2025 merupakan edisi kedua MIHAS pada peringkat antarabangsa yang dianjurkan MATRADE selepas kejayaan MIHAS@Dubai tahun lepas.

-- BERNAMA