BERITA TERKINI   PRN Sabah : BN tampil ramai calon muka baharu dan muda, kekalkan beberapa pemimpin berpengalaman untuk bawa Sabah lebih maju - Bung Moktar | PRN Sabah : BN letak 40 calon setakat ini, beberapa lagi nama akan diumum kemudian - Pengerusi BN Negeri Bung Moktar | MAHB bakal perluas terminal kargo udara Pulau Pinang - Loke | Stesen KTM Butterworth akan dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta - Loke | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat meskipun momentum positif di pasaran emas COMEX Amerika Syarikat (AS).

Peserta pasaran dilaporkan sedang menunggu petunjuk baharu prospek ekonomi AS terutamanya di tengah-tengah jangkaan penurunan kadar faedah lagi oleh Rizab Persekutuan AS.

Kontrak bulan semerta November 2025 susut kepada US$4,022.60 setiap auns troy daripada US$4,025.20 pada Rabu, Disember 2025 turun kepada US$4,039.90 daripada US$4,042.10 semalam, dan Januari 2026 berkurangan sedikit kepada US$4,058.60 daripada US$4,060.90 sebelumnya.

Sementara itu, kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya ditutup lebih rendah kepada US$4,074.50 setiap auns troy daripada US$4,076.80 sebelumnya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 39 lot daripada 31 pada Khamis, manakala minat terbuka susut kepada 132 kontrak daripada 138 sebelumnya.

Menurut Persatuan Pasaran Bullion London pada 6 November 2025 emas fizikal berharga US$3,986.50 setiap auns troy.

-- BERNAMA