BERITA TERKINI   MAHB bakal perluas terminal kargo udara Pulau Pinang - Loke | Stesen KTM Butterworth akan dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta - Loke | Kerajaan Persekutuan belanja RM17 bilion setiap tahun untuk Sabah, berbanding kutipan hasil negeri RM10 bilion - PM Anwar | Selesaikan tuntutan MA63 menerusi perbincangan bukan cara 'berperang' - PM Anwar | Seorang maut, enam ditemui selamat selepas bot dipercayai bawa hampir 100 PATI karam di perairan sempadan Malaysia-Thaiand - Polis Kedah | 

PNB Merdeka Ventures Terbit Sukuk Lestari Korporat Terbesar Di ASEAN

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd berjaya melaksanakan terbitan sulung Sukuk Wakalah Merdeka Lestari di bawah Program Sukuk Wakalah Merdeka sehingga RM6 bilion nilai nominal sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian pembiayaannya.

Menurut anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu, transaksi berkenaan menandakan pencapaian setakat ini meliputi terbitan Sukuk Lestari korporat terbesar di ASEAN, terbitan Sukuk Lestari terbesar oleh sektor hartanah komersial di ASEAN dan terbitan tunggal terbesar Sukuk Lestari korporat dalam ringgit bertaraf AAA.

Hasil terbitan Program Sukuk Wakalah Merdeka akan digunakan untuk membiayai semula sukuk tanpa penarafan sedia ada dan membiayai pembangunan berterusan dalam pembangunan bercampur ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata kejayaan terbitan ini sekali lagi mengukuhkan keyakinan pasaran terhadap keupayaannya serta prospek jangka panjang presint Merdeka 118 sebagai lambang kebanggaan negara dan pemangkin kepada pertumbuhan berterusan Kuala Lumpur.

“Ia juga menegaskan komitmen kami untuk membentuk pembangunan yang berimpak kekal, projek yang memperkasakan komuniti, memperkukuh identiti negara dan meninggalkan legasi bermakna untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, transaksi ini telah dipasarkan melalui proses pembukuan yang dipercepatkan pada 16 Okt 2025 dengan tempoh matang lima, tujuh, 10 dan 15 tahun dan saiz terbitan asas RM5.5 bilion.

Katanya satu tranche 20 tahun bernilai RM500 juta ditawarkan secara penempatan persendirian

“Pada kemuncaknya, buku pesanan mencatat nisbah bidaan sebanyak 1.17 kali, membolehkan PNB Merdeka Ventures meningkatkan jumlah terbitan kepada RM6 bilion.

“Transaksi ini menarik minat kukuh daripada lebih 40 pelabur termasuk syarikat berkaitan kerajaan, institusi kewangan, pengurus aset dan syarikat insurans,” katanya.

Tawaran akhir telah ditetapkan pada kadar keuntungan 3.64 peratus, 3.79 peratus, 3.83 peratus, 4.04 peratus dan 4.11 peratus masing-masing bagi tempoh matang lima, tujuh, 10, 15 dan 20 tahun, dengan kadar keuntungan purata berwajaran sebanyak 3.83 peratus.

Angka ini jauh lebih rendah berbanding kos pembiayaan sukuk tanpa penarafan yang diterbitkan oleh PNB Merdeka Ventures pada 2017.

CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan penasihat struktur kelestarian bersama bagi Program Sukuk Wakalah Merdeka dan pengurus utama bersama serta pengurus buku bersama pesanan bagi terbitan sulung Sukuk Wakalah Merdeka Lestari PNB Merdeka Ventures.

-- BERNAMA