BERITA TERKINI   PRN : Parti tempatan dan nasional perlu berkerjasama untuk majukan Sabah - PM Anwar | Beregu badminton wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah muncul juara Masters Jepun 2025 | Kerajaan Persekutuan serius bela nasib pekerja gig dan anak muda Sabah – TPM Ahmad Zahid | TPM Ahmad Zahid gesa anak muda Sabah jadi pemacu kestabilan politik dan kemajuan negeri | Media bebas kritik, tetapi masa sama siarkan jawapan daripada kerajaan - PM Anwar | 

Lebih 1.45 Juta Peserta Sertai Modul Percuma Dalam Portal Rakyat Digital - Gobind

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Lebih 1.45 juta peserta telah menyertai modul percuma yang ditawarkan dalam Portal Rakyat Digital setakat hari ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha menjayakan aspirasi Malaysia sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) (AI Nation) dan hab serantau menjelang 2030 yang memfokuskan antaranya kepada usaha pembangunan bakat tempatan secara komprehensif di semua peringkat.

"Portal Rakyat Digital merupakan platform pembelajaran kendiri dalam talian percuma untuk meningkatkan literasi asas AI yang menawarkan modul seperti AI Untuk Rakyat, Generatif AI, AI Fluency, dan topik digital lain. 

"Selain itu, AI at Work 2.0 dengan kerjasama Google telah diperkenalkan bagi melengkapkan 445,000 penjawat awam dengan alat AI generatif untuk meningkatkan kecekapan serta produktiviti perkhidmatan awam," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berkenaan rancangan Malaysia untuk merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030. 

-- BERNAMA