Bursa Malaysia Ditutup Rendah, Jejaki Pasaran Serantau
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu, mencerminkan kebanyakan pasaran serantau susulan jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih terus melemahkan sentimen pasaran.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.95 mata atau 0.12 peratus kepada 1,621.55 daripada 1,623.50 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.26 mata kepada 1,622.24 dan bergerak antara 1,614.30 dan 1,623.16 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 752 berbanding 427, manakala 576 kaunter tidak berubah, 887 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.77 bilion unit bernilai RM2.70 bilion daripada 3.59 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Selasa.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kemerosotan FBM KLCI didorong oleh penurunan dalam kaunter pengguna terpilih tetapi kelemahan itu tidak menyeluruh kerana beberapa kaunter berkaitan pengguna lain dalam indeks terus menunjukkan daya tahan.
“Dalam menuju 2026, profil pendapatan korporat, dinamik penggunaan domestik dan prospek sektor kekal positif. Ketidaktentuan jangka pendek berkemungkinan merupakan penentukuran semula kedudukan dan bukannya perubahan dalam trajektori jangka sederhana pasaran tempatan,” katanya kepada Bernama.
Di Asia, Nikkei 225 Jepun dan Indeks Kospi Korea Selatan menyaksikan perubahan dagangan harian lebih ketara dalam sektor pertumbuhan tinggi yang telah meningkat sejak beberapa bulan lepas.Walaupun tekanan jualan berkurangan di penghujung sesi, skala pergerakan itu mencerminkan kebimbangan pasaran semakin meningkat, katanya.
Ia disebabkan oleh sentimen risiko global yang lebih lemah selepas sektor teknologi Wall Street mengalami penurunan mendadak semalaman apabila kebimbangan terhadap penilaian timbul semula susulan kenaikan yang berpanjangan.
Di peringkat tempatan, Mohd Sedek kekal yakin terhadap saham kewangan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia esok.
Beliau menjangkakan kadar dasar semalaman akan kekal pada 2.75 peratus sekali gus mengekalkan pendirian dasar yang terukur dan bergantung kepada data.
Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun tiga sen kepada RM9.92, CIMB Group merosot lima sen kepada RM7.50, Tenaga Nasional berkurangan 10 sen kepada RM13.20, manakala Public Bank menambah lapan sen kepada RM4.34 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.28.
Bagi saham paling aktif, NexG Bina (sebelum ini dikenali sebagai Classita) merosot setengah sen kepada empat sen, MMAG turun 3.5 sen kepada 10.5 sen, manakala NexG melonjak dua sen kepada 30 sen, Tanco meningkat 3.5 sen to 88.5 sen, Borneo Oil pula tidak berubah pada 0.5 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Nestle naik RM3 kepada RM116, United Plantations menambah 46 sen kepada RM25.46, VSTECS dan Westports meningkat 25 sen masing-masing kepada RM4.05 dan RM5.35 dan Time Dotcom menambah 21 sen kepada RM5.05.
Antara saham paling rugi, PJBumi merosot 52 sen kepada RM1.25, Fraser & Neave berkurangan 38 sen kepada RM27.80, Hong Leong Bank menguncup 28 sen kepada RM20.96, Sunway Construction susut 13 sen kepada RM5.67 dan Malaysian Pacific Industries turun 12 sen kepada RM30.44.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 3.90 mata kepada 11,807.15, Indeks FBM Emas berkurangan 5.24 mata kepada 12,048.92,dan Indeks FBM Emas Shariah susut 5.82 mata kepada 12,049.61.
Sebaliknya, Indeks FBM ACE meningkat 0.86 mata kepada 5,076.95 dan Indeks FBM Mid 70 Index naik 39.37 mata kepada 16,929.37.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 26.54 mata kepada 8,051.34, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 27.63 mata kepada 18,423.79, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.07 mata kepada 168.84, Indeks Tenaga turun 4.29 mata kepada 761.83.
Jumlah dagangan Pasaran Utama tnaik kepada 2.05 bilion unit bernilai RM2.16 bilion berbanding 1.91 bilion unit bernilai RM2.28 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 2.04 bilion unit bernilai RM369.98 juta daripada 1.02 bilion unit bernilai RM186.45 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 670.68 juta saham bernilai RM160.92 juta berbanding 666.89 juta saham bernilai RM180.34 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 586.89 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (342.43 juta); pembinaan (134.76 juta); teknologi (359.05 juta); perkhidmatan kewangan (59.87 juta); hartanah (217.66 juta); perladangan (41.69 juta); REIT (18.29 juta), dana tertutup (9,100); tenaga (99.02 juta); penjagaan kesihatan (94.65 juta); telekomunikasi dan media (33.54 juta); pengangkutan dan logistik (43.59 juta), utiliti (21.68 juta) dan amanah perniagaan (184,300).
-- BERNAMA