BERITA TERKINI   AkeMedia KPKT: Wartawan Bernama Abdul Hamid A Rahman tempat ketiga Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik 2025 | AkeMedia KPKT: Jurugambar Bernama Mohd Khairul Fikri Osman tempat pertama Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik 2025 | AkeMedia KPKT: Bernama Radio mendapat tempat ketiga bagi Anugerah Penyiaran Radio Terbaik 2025 | AkeMedia KPKT: Wartawan Bernama Hasnah Jusid tempat pertama kategori Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik 2025, Mohd Noor Iqram Rosli tempat ketiga. | Operasi CARILAMAT mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand di Langkawi ditamatkan hari ini - APMM | 

MOSTI Laksana Kajian Menyeluruh Bagi Penggubalan Akta STI Baharu

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang melaksanakan kajian menyeluruh bagi menggubal Akta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang baharu.

Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata proses penggubalan akta itu bersifat kompleks kerana memerlukan penelitian mendalam daripada pelbagai aspek bagi memastikan undang-undang yang diperkenalkan berkesan dan kalis masa hadapan.

“Kajian terperinci sedang dijalankan terhadap kerangka perundangan STI di negara-negara maju dan serantau bagi mengenal pasti amalan terbaik yang boleh diadaptasi dalam ekosistem STI tempatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai perancangan kementerian untuk membentangkan Akta STI baharu serta langkah segera yang diambil untuk mencapai sasaran dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Chang berkata antara aspek utama yang sedang diperhalusi termasuk kajian perbandingan dan penandaarasan (benchmarking), keharmonian perundangan bagi memperincikan pertindihan fungsi serta peranan antara pelbagai agensi kerajaan, selain menilai implikasi jangka panjang terhadap pelaksanaan akta berkenaan.

“Akta ini akan memberi impak besar kepada tadbir urus STI negara. Oleh itu, implikasi jangka panjang terhadap kerajaan termasuk aspek kewangan, sumber manusia dan akauntabiliti perlu dianalisis dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata sesi libat urus secara menyeluruh turut dilaksanakan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pihak industri, badan penyelidikan, ahli akademik dan masyarakat bagi memastikan akta yang digubal bersifat komprehensif, inklusif dan praktikal.

-- BERNAMA