Kadar Antara Bank Jangka Pendek Ditutup Stabil Susulan Operasi BNM
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) --Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional naik kepada RM31.40 bilion daripada RM28.82 bilion pagi ini, manakala kecairan dalam dana Islam susut kepada RM24.10 bilion daripada RM25.71 bilion sebelumnya.
Terdahulu, bank pusat menawarkan dua tender repo berbalik.
Pada 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM31.40 bilion dan tender pasaran wang murabahah sebanyak RM24.10 bilion, kedua-duanya untuk wang satu hari.
Setakat 31 Okt, 2025, Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 2.75 peratus.
-- BERNAMA