BERITA TERKINI   PRN Sabah : BN tampil ramai calon muka baharu dan muda, kekalkan beberapa pemimpin berpengalaman untuk bawa Sabah lebih maju - Bung Moktar | PRN Sabah : BN letak 40 calon setakat ini, beberapa lagi nama akan diumum kemudian - Pengerusi BN Negeri Bung Moktar | 

Kementerian Digital Teliti Komponen Utama Bagi Dasar, Hala Tuju Pembangunan Blockchain

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kementerian Digital sedang meneliti komponen utama yang diperlukan dalam pembangunan dasar dan hala tuju blockchain negara.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata perkara itu merangkumi penerimagunaan teknologi blockchain bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan ketelusan sektor pentadbiran kerajaan, industri dan rakyat.

“Pengaplikasian teknologi blockchain menerusi tokenisasi akan turut diteliti khususnya dalam aspek pengurusan aset dan pembangunan pasaran modal bagi menjamin keselamatan transaksi dan kestabilan ekosistem digital.

“Kerajaan sedang membangunkan rangka kerja kawal selia bagi tokenisasi aset secara bersepadu melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai rancangan untuk meneruskan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional 2021-2025 dan sama ada kerajaan akan memperkenalkan rangka kerja kawal selia atau undang-undang khusus berkaitan tokenisasi aset dan blockchain.

Gobind berkata pihaknya telah menubuhkan Pasukan Kerja Dasar Blockchain Negara yang dianggotai pakar dan individu yang berpengalaman dalam teknologi blockchain daripada sektor awam dan swasta sebagai satu sinergi bagi membangunkan dasar dan hala tuju blockchain negara yang holistik dan inklusif.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Syerleena mengenai langkah kementerian untuk memastikan tenaga kerja tempatan bersedia dalam bidang blockchain, menteri berkata perkara tersebut diteliti dalam pembangunan Dasar Blockchain Negara yang diterajui kementeriannya.

Beliau berkata aspek utama ditekankan adalah pendidikan inklusif, latihan berasaskan keperluan industri, dan tarikan bakat global melalui pendekatan senegara menggabungkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, dan institusi akademik.

“Di samping itu, antara strategi utama yang sedang dipertimbangkan dalam memastikan tenaga kerja tempatan bersedia dalam bidang blockchain termasuk pemerkasaan institusi pendidikan tinggi, memperkukuh kesediaan tenaga kerja dan padanan industri, serta meningkatkan profesionalisme dan mobiliti bakal global,” katanya.

-- BERNAMA