BERITA TERKINI   Liga Super: Penang FC 0-1 Imigresen FC | Liga Super: DPMM FC 2-2 Negeri Sembilan FC | 

Anak Syarikat Parkson Tamat Perjanjian Sewa Hartanah Di China

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Anak syarikat yang dimiliki sebanyak 54.97 peratus oleh Parkson Holdings Bhd (PHB), Parkson Retail Group Ltd (PRGL) menamatkan perjanjian sewa melibatkan hartanah di Bandar Guiyang, Wilayah Guizhou, China.

PHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata PRGL membuat pengumuman kepada The Stock Exchange of Hong Kong Ltd (HKEX) berkaitan penamatan perjanjian berkenaan bertarikh 29 Mac 2024 melibatkan Tingkat Bawah 1 dan Tingkat 1 hingga 4 di Longgang International Center, Bandar Guiyang.

Penamatan perjanjian sewa yang berkuat kuasa 30 Nov, 2025 mendapat persetujuan antara Guizhou Shenqi Parkson Retail Development Co Ltd (subpenyewa) iaitu anak syarikat bukan milik sepenuhnya PRGL, Guizhou Longgang Commercial Operation Management Co Ltd (penyewa A) serta Guizhou Yuncui Property Management Co Ltd (penyewa B).

PRGL berkata mengikut Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa 16 (IFRS 16), penamatan tersebut akan memerlukan kumpulan untuk membatalkan pengiktirafan hartanah sebagai aset hak guna dengan jumlah sebanyak RMB51.2 juta (RM30.2 juta).

"Sehubungan itu, pemeteraian Perjanjian Penamatan Sewa dan transaksi yang dijangka di bawahnya akan dianggap sebagai pelupusan aset oleh kumpulan PRGL di bawah Peraturan Penyenaraian Sekuriti di HKEX (Peraturan Penyenaraian)," katanya.

PRGL memberitahu penamatan perjanjian sewa itu disebabkan ketidakmampuan untuk melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di hartanah tersebut yang bermaksud tempoh penyewaaan belum bermula.

"Lembaga pengarah berpendapat perjanjian sewa harus ditamatkan kerana kerja-kerja pengubahsuaian ke atas hartanah tersebut tidak dapat dijalankan dan akibatnya, penyewa kecil tidak dapat mengendalikan gedung serbaguna di hartanah itu," kata PRGL.

Ia berkata terma-terma perjanjian penamatan sewa adil, munasabah serta demi kepentingan syarikat dan para pemegang saham secara keseluruhannya.

Selain itu, penamatan perjanjian sewa berkenaan tidak akan memberikan impak buruk material terhadap kedudukan kewangan dan operasi kumpulan.

PRGL berkata semua nisbah peratusan yang berkaitan di bawah Peraturan 14.07 Peraturan Penyenaraian kurang daripada lima peratus dan transaksi ini bukan transaksi yang boleh dilaporkan di bawah Bab 14.

Penyewa kecil juga dianggap sebagai anak syarikat yang tidak penting dan transaksi ini bukan merupakan transaksi yang berhubung kait.

-- BERNAMA