BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

RMK13: NCER, Pulau Pinang Fokus Ekonomi Penciptaan Nilai, Industri Pertumbuhan - Chow

GEORGE TOWN, 31 Okt (Bernama) -- Hala tuju Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi Pulau Pinang mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menumpukan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai, industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi serta pengembangan wilayah yang seimbang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagi rangkaian ekosistem industri wilayah dalam sektor semikonduktor, Pulau Pinang kekal sebagai peneraju dengan disokong oleh rantaian sedia ada di Kulim, Kedah dan di Ipoh serta  Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang kini dalam perancangan di Perak.

“Penaiktarafan Pelabuhan Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan penaiktarafan Lebuhraya Juru-Sungai Dua bakal meningkatkan kesalinghubungan serta daya saing Pulau Pinang dan NCER secara berterusan termasuk sebagai pemangkin pembangunan wilayah khususnya pelancongan berasaskan arkeologi.

“Di bawah ‘Rolling Plan’ 1 (RP1) RMK13, dua projek baharu melibatkan pembangunan bakat bagi merealisasikan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi sektor strategik dan pembangunan ekosistem rantaian bekalan telah dirancang," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa projek sambungan termasuk Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) dan pembangunan Penang Durian Valley@Relau akan diteruskan.

Chow berkata pencapaian NCER di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Pulau Pinang menunjukkan perkembangan yang amat baik.

Beliau berkata merujuk kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Pulau Pinang mencatatkan RM121.49 bilion dengan 45 peratus disumbangkan kepada pihak NCER manakala pelaburan direalisasikan pula RM152.5 bilion dengan 47 peratus.

"Pekerjaan direalisasikan adalah 62,356 (27 peratus) dan pendapatan isi rumah ialah RM7,386," katanya.

-- BERNAMA