BERITA TERKINI   Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat selepas Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh, dengan KDNK dijangka berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat apabila Malaysia berada pada asas lebih kukuh, dengan KDNK di landasan untuk berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan positif -- pertumbuhan berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti - PM Anwar | 

Aset Rizab Malaysia Pada US$123.6 Bilion Setakat Akhir September 2025 - BNM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Aset rizab antarabangsa Malaysia berada pada US$123.6 bilion (US$1= RM4.19) pada akhir September 2025, meningkat daripada US$122.68 bilion pada akhir Ogos 2025, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM berkata aset mata wang asing lain berjumlah US$201.9 juta pada akhir September 2025. 

Menurut bank pusat, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat jangkaan mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain, mengikut format Piawaian Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). 

Katanya, ia turut menyediakan panduan mengenai unjuran dan potensi pada masa hadapan bagi aliran masuk dan keluar mata wang asing kerajaan persekutuan serta BNM dalam tempoh 12 bulan akan datang. 

“Secara keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa di bawah format SDDS IMF menunjukkan bahawa pada akhir September 2025, rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

BNM berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, termasuk, antara lain pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing, berjumlah US$15.4 bilion. 

“Kedudukan jualan hadapan bersih berada pada US$20.8 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” tambahnya. 

BNM berkata sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Menurut BNM, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.8 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat itu berkata, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontigensi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri mata wang asing yang matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$417 juta.

“Tiada sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, dan tiada kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” tambahnya. 

-- BERNAMA