BERITA TERKINI   Liga Super: KL City 0-4 JDT | Dividen operasi Felcra bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan 15 peratus, dibayar awal tahun depan - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas acara Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) wanita | Rombakan Kabinet: Kerajaan mahu beri peluang kepada pemimpin muda untuk memimpin - PM Anwar | Tumpuan saya tahun depan adalah untuk meneruskan reformasi negara dan menyelesaikan masalah penduduk - PM Anwar | 

Ringgit Dibuka Tinggi Teruskan Kenaikan Bagi Tujuh Hari Berturut-turut

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

 KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini meneruskan kenaikannya bagi hari ketujuh berturut-turut, disokong oleh penurunan kadar sebanyak 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) pada malam tadi, kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1835/2050 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1850/1900 pada Rabu.

Bagaimanapun ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dasar monetari bukanlah sesuatu yang ditetapkan terlebih dahulu, dan terdapat polarisasi pandangan dalam kalangan ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).

"Jurang antara kadar dana persekutuan AS (FFR) dan kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia tidak akan dapat dikurangkan secukupnya. Justeru, pada satu tahap, mungkin kelihatan seperti pulangan dolar AS kelihatan menarik," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit mungkin mengalami sedikit pengambilan untung selepas mencatatkan kenaikan ketara apabila dolar-ringgit melepasi paras psikologi RM4.20, antara RM4.19 hingga RM4.20 hari ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.7383/7525 daripada 2.7493/7528 pada sesi penutup Rabu, menokok berbanding pound Britain kepada 5.5189/5472 daripada 5.5326/5392 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8533/8782 daripada 4.8722/8780.

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang negara-negara ASEAN.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2245/2416 daripada 3.2324/2365 pada Rabu, naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 251.7/253.1 daripada 251.8/252.2, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9096/9840 daripada 12.9651/9858, tetapi hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.12/7.16 daripada 7.12/7.14 sebelumnya.

-- BERNAMA