BERITA TERKINI   Final pertama ACC: Selangor FC 0-1 Buriram United | SPR terima pemakluman status kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, sahkan tiada keperluan isi kekosongan luar jangka. | Speaker Dewan Rakyat sahkan terima notis peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi berkuat kuasa 18 Mei | Speaker Dewan Rakyat sahkan terima notis peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi | Untung bersih MR DIY Group (M) Bhd naik kepada RM192.02 juta pada suku pertama 2026 daripada RM174.14 juta pada suku pertama 2025 | 

Malaysia dan Itali Sepakat Percepat, Muktamadkan Kerjasama Petronas-ENI -- PM Anwar

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Itali sepakat dalam usaha mempercepat serta memuktamadkan kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat tenaga Itali, Eni S.p.A (ENI) dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu perkongsian di platform X malam ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu telah dipersetujui menerusi perbualan telefon beliau dengan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan kesediaan Malaysia untuk menerima kunjungan rasmi Meloni ke Kuala Lumpur pada awal tahun depan bagi memuktamadkan perjanjian strategik berkenaan.

“Dalam perbualan itu, Perdana Menteri Giorgia Meloni telah memaklumkan kepada saya alasan ketidakhadiran beliau ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berikutan keperluan mendesak di Rome dalam merangka serta menggubal undang-undang berkaitan belanjawan serta perbincangan di peringkat Kesatuan Eropah,” kata perdana menteri.

Anwar berkata Malaysia juga memahami keutamaan domestik Itali ketika ini dan turut merakamkan penghargaan atas pendirian negara itu untuk terus mendukung seruan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat di Gaza yang amat diperlukan di pentas dunia ketika ini. 

"Insya-Allah, hubungan akrab Malaysia dan Itali akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara," kata Anwar.

-- BERNAMA