BERITA TERKINI   Malaysia tetapkan sasaran capai RM100 bilion dalam jualan francais negara menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean raih pingat emas 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3:50.63s | Thailand akan adakan pilihan raya umum pada 8 Feb - Suruhanjaya Pilihan Raya | Sukan SEA 2025: Kuartet 4x100 meter lelaki negara rangkul perak, pecah rekod kebangsaan dengan catatan baharu 39.03 saat | Sukan SEA 2025: Atlet olahraga negara Andre Anura Anuar rangkul emas lompat jauh lelaki | 

Niaga Hadapan Emas Pulih Susulan Ketegangan AS-China Mereda

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu, pulih selepas aktiviti penjualan besar-besaran pada awal minggu ini apabila ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin mereda, sekali gus mengurangkan risiko geopolitik.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata nada pasaran turut menjadi lebih kukuh menjelang keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed).

“Para peniaga kini menumpukan perhatian kepada perkembangan yang lebih penting, iaitu sama ada Fed akan memberi isyarat berakhirnya pengetatan kuantitatif dan memberi petunjuk untuk membina semula kunci kira-kiranya bagi meningkatkan rizab,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta Oktober 2025 ditutup kepada US$4,019.7 setiap auns troy, meningkat daripada US$3,909.6 pada Selasa, manakala kontrak November 2025 naik kepada US$4,035.4 setiap auns troy daripada US$3,926.4 dan kontrak Disember 2025 meningkat kepada US$4,052.7 setiap auns troy daripada US$3,943.0.

Niaga hadapan Januari 2026 meningkat sedikit kepada US$4,069.7 setiap auns troy daripada US$3,960.0, manakala kontrak Februari, April dan Jun 2026 masing-masing ditutup lebih tinggi kepada US$4,085.6 setiap auns troy daripada US$3,975.9 sebelum ini.

Jumlah dagangan susut kepada 470 lot daripada 660 lot semalam, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 577 kontrak daripada 717 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$3,948.50 setiap auns troy mengikut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 28 Okt, 2025.

-- BERNAMA