Exim Bank, Export Finance Australia Bentuk Kerjasama Strategik Pelaburan, Perdagangan
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Export Finance Australia (EFA) dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank Malaysia) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama dan memanfaatkan potensi baharu pelaburan di seluruh Asia Tenggara.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata di bawah kerjasama strategik itu, mereka akan meneroka pengaturan pembiayaan bersama dan perkongsian risiko untuk projek yang mempunyai kepentingan bersama.
Projek-projek itu termasuk pembangunan infrastruktur, peralihan tenaga, ekonomi digital, pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta menyediakan rangka kerja untuk pertukaran pengetahuan dalam integrasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pengurusan risiko serta inovasi produk.
“Kerjasama ini melengkapi Invested: Australia’s Southeast Asia Economic Strategy to 2040 (Invested) dan agenda pembangunan nasional Malaysia termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Rancangan Malaysia Ke-13 dan kerangka Ekonomi MADANI,” menurut kenyataan itu.
Majlis menandatangani perjanjian itu dimuktamadkan semalam di luar Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang bertepatan dengan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia.
Kedua-dua pihak menekankan bahawa MoU itu dibina berdasarkan peranan aktif EFA dalam menyokong pelaksanaan inisiatif Invested oleh kerajaan Australia.
EFA memilki pakar pembiayaan di Singapura, Indonesia dan Vietnam sebagai sebahagian daripada inisiatif Investment Deal Teams dan turut menguruskan Kemudahan Pembiayaan Pelaburan di Asia Tenggara oleh kerajaan Australia bernilai AU$2 bilion.
“Secara bersama, usaha ini membantu mengenal pasti dan menyokong projek infrastruktur penting yang strategik dan memudahkan perdagangan serta pelaburan perniagaan Australia di seluruh Asia Tenggara, sekali gus mewujudkan asas kukuh bagi peluang yang terhasil di bawah MoU ini,” kata kenyataan itu.
Melihat ke hadapan, EXIM Bank Malaysia akan memanfaatkan program sasarannya untuk melaksanakan MoU ini pada tahun depan, termasuk Skim Eksport Lonjakan bernilai RM500 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeksport tempatan serta Program Malaysia Global Connect Go Export Cover bagi melindungi perniagaan yang sedang berkembang ke pasaran strategik.
Inisiatif ini akan mempercepatkan aliran peluang kerjasama antara EFA dan EXIM serta menarik pelaburan swasta. EXIM Bank Malaysia mempunyai pendedahan melebihi RM181 juta di Australia, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk kerjasama di masa hadapan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EFA John Hopkins berkata perjanjian itu mewakili satu lagi langkah bermakna dalam memajukan Invested 2040, sambil ia terus memperkukuh hubungan dengan agensi kredit eksport serantau bagi memanfaatkan potensi peluang-peluang pelaburan baharu.
Sementara itu, Presiden dan CEO EXIM Bank Malaysia Datuk Nurbayu Kasim Chang berkata melalui kerjasama yang dipertingkatkan itu, bank berkenaan berhasrat membuka laluan baharu untuk perniagaan, meningkatkan perdagangan dan pelaburan serantau serta menyokong pembangunan mampan di seluruh Asia Tenggara.
“Kami yakin kerjasama ini akan memupuk daya tahan ekonomi yang lebih kukuh dan kemakmuran bersama di seluruh rantau ini.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen EXIM Bank Malaysia untuk mengembangkan jejak perdagangan global Malaysia sambil menyokong pelaburan berimpak di seluruh rantau ini. Dengan memperkukuh hubungan dengan Export Finance Australia, kami membuka laluan baharu bagi pelaburan dan perdagangan serantau, selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI dan NIMP 2030,” tambahnya.
-- BERNAMA