BERITA TERKINI   Piala FA: JDT 3-0 Penang FC (agregat 5-1) | Piala FA: Kuching City FC 1-2 Terengganu FC (agregat 5-3) | 

BNM, Perbendaharaan AS Terus Bincang Mengenai Isu Makroekonomi, Forex

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk meneruskan perbincangan dengan lebih rapat mengenai isu makroekonomi dan pertukaran mata wang asing (Forex).

BNM berkata AS dan Malaysia menegaskan semula komitmen masing-masing di bawah Artikel Perjanjian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mengelakkan sebarang manipulasi kadar pertukaran atau sistem kewangan antarabangsa mendapatkan kelebihan daya saing yang tidak adil atau bagi menghalang pelarasan imbangan pembayaran yang berkesan.

Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju dengan sebarang langkah makro berhemat (microprudential) atau kawalan aliran modal tidak akan digunakan untuk menyasarkan kadar pertukaran bagi tujuan daya saing.

Selain itu, menurut BNM, kedua-dua negara berikrar iaitu platform pelaburan kerajaan yang lain seperti dana persaraan membuat pelaburan di luar negara bagi tujuan pulangan yang diselaraskan risiko selain kepelbagaian dan bukan untuk menyasarkan kadar pertukaran bagi tujuan daya saing.

“Kedua-dua negara juga bersetuju iaitu campur tangan pasaran pertukaran mata wang asing hanya harus digunakan untuk menangani turun naik yang keterlaluan atau pergerakan tidak teratur sama ada disebabkan oleh penyusutan nilai atau peningkatan nilai yang mendadak,” kata BNM dalam satu kenyataan.

Bank pusat itu turut menekankan kepentingan dasar kadar pertukaran yang telus dengan komitmen untuk mendedahkan jumlah bersih pembelian atau penjualan Forex secara agregat bagi tempoh 12 bulan yang akan diterbitkan setiap hujung Mac dan hujung September.

BNM juga akan terus menerbitkan data rizab Forex dan kedudukan hadapan secara bulanan selaras dengan Templat Data IMF mengenai Rizab Antarabangsa dan Mudah Tunai Mata Wang Asing.

Selain itu, BNM komited untuk berkongsi data transaksi Forex agregat bagi tempoh enam bulan dengan Jabatan Perbendaharaan AS secara sulit dan dua hala dengan kelewatan pelaporan selama tiga bulan.

-- BERNAMA