BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | 

Sentimen Berhati-hati Dijangka Dorong Ringgit Diniagakan Dalam Julat Kecil Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang akan datang.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran lebih terarah kepada mesyuarat FOMC yang dijadualkan pada 28-29 Okt, 2025.

“Penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas yang diunjur, sememangnya telah dijangka oleh pasaran. Persoalan utama adalah bagaimana pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS mengemudi hala tuju dasar monetarinya jika penutupan kerajaan AS berterusan tanpa sebarang penyelesaian,” katanya kepada Bernama.

Bersandarkan perkembangan itu, beliau berkata ringgit dijangka terus diniagakan dalam julat kecil sekitar 4.22 hingga 4.23 berbanding dolar AS pada minggu depan.

Sementara itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi September yang diumumkan semalam juga merupakan laporan ekonomi utama pertama dikeluarkan sejak penutupan kerajaan pada 1 Oktober lepas.

Data terbaharu menunjukkan IHP teras meningkat kepada 330.54 pada September daripada 329.79 bagi bulan sebelumnya manakala kadar inflasi keseluruhan turun kepada 3.0 peratus yang lebih rendah daripada jangkaan awal.

Pengumuman data itu memberi petunjuk selanjutnya mengenai hala tuju kadar faedah Fed yang menunjukkan tekanan inflasi semakin mereda.

Bagi perbandingan asas mingguan, ringgit mengukuh berbanding dolar AS apabila ditutup pada 4.2210/2255 berbanding 4.2240/2275 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dan negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.7592/7623 daripada 2.8218/8244, naik berbanding euro kepada 4.9010/9062 daripada 4.9421/9462 serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6232/6292 daripada 5.6741/6788 pada akhir urus niaga minggu lepas.

Ringgit juga meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2484/2521 daripada 3.2635/2665, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8768/8952 daripada 12.9301/9471, tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.20/7.21 daripada 7.26/7.27 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 254.2/254.6 daripada 254.6/254.9 sebelumnya.

-- BERNAMA