BERITA TERKINI   Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | 

Perjanjian Tarif Malaysia-AS Berada Pada Peringkat Akhir Rundingan - Tengku Zafrul

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia berada pada peringkat akhir rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS) dan berharap dapat memuktamadkan perjanjian itu pada Ahad di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Presiden AS Donald Trump dijadualkan tiba di Malaysia pada Ahad untuk menghadiri sidang kemuncak itu.

“Kita berada pada peringkat akhir rundingan. Saya boleh mengesahkan (perbincangan tarif itu) pada Ahad,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata pada sidang kemuncak kali ini, rundingan mengenai tarif akan dijalankan secara dua hala antara AS dan setiap negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia.

“Jadi bagi Malaysia, dan saya yakin bagi negara lain juga, rundingan ini sedang berjalan, dan kita akan lihat sama ada terdapat sebarang perjanjian yang akan dimuktamadkan dan ditandatangani semasa lawatan Trump ke Malaysia,” katanya.

Menurut laman web Roll Call oleh Amerika, Trump dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala yang diperluas serta majlis menandatangani perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sidang kemuncak itu pada Ahad.

Trump juga dijangka mengakhiri lawatan itu dengan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 serta majlis makan malam bersama-sama kalangan pemimpin ASEAN sebelum berlepas pulang pada Isnin.

Pada masa ini, AS mengenakan tarif umum pada kadar 19 peratus terhadap eksport dari Malaysia.

Pada 25 Sept, 2025, Trump mengumumkan AS akan mengenakan tarif pada kadar 100 peratus terhadap mana-mana produk farmaseutikal berjenama atau yang dipatenkan berkuat kuasa 1 Okt, 2025, melainkan syarikat berkenaan membina kilang pembuatan farmaseutikal di AS.

Pada masa sama, Trump turut mengumumkan berkuat kuasa pada tarikh yang sama, Washington akan mengenakan tarif berkadar 50 peratus le atas semua kabinet dapur, kelengkapan bilik mandi dan produk berkaitan, serta tambahan, mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas perabot upholsteri, yang Malaysia tidak terkecuali.

-- BERNAMA