ECERDC Realisasi Pelaburan RM1.12 Bilion Di Kelantan Setakat September 2025
KOTA BHARU, 23 Okt (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus memperkukuh pertumbuhan ekonomi di Kelantan dengan merealisasi pelaburan RM1.12 bilion setakat September 2025, dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri.
ECERDC dalam satu kenyataan berkata selain itu, pelaburan komited berjumlah RM736 juta yang melibatkan sektor pertanian, perkhidmatan dan industri pula dijangka dapat menjana lebih 1,300 peluang pekerjaan baharu apabila realisasinya selesai kelak.
"Projek Jambatan Palekbang–Kota Bharu kekal sebagai salah satu inisiatif transformasi utama yang dilaksanakan oleh ECERDC di Kelantan. Setelah siap dibina nanti, jambatan ini akan memperkukuh ketersambungan jalan raya antara Kota Bharu dan Tumpat, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar serta membuka laluan pelaburan baharu di daerah utara Kelantan.
"Infrastruktur strategik ini dijangka merancakkan aktiviti perdagangan, logistik dan pelancongan tempatan sekali gus menjadi pemangkin utama kepada fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)," jelas ECERDC.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan ECERDC memainkan peranan penting dalam merangka pelan pembangunan jangka panjang serta pembangunan serantau.
"Kerajaan negeri akan memastikan setiap inisiatif sama ada dari segi pembangunan infrastruktur mahupun fasilitasi pelaburan berjalan seiring dengan keutamaan pembangunan negeri. Perkongsian strategik ini membolehkan kerajaan negeri menyokong projek berimpak tinggi yang memperkukuh sektor ekonomi utama, membuka peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Melalui perancangan dan pembangunan lestari yang rapi, kami jelas menzahirkan hala tuju untuk menjadikan Kelantan lebih kompetitif dan berdaya tahan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir dalam mesyuarat ICC itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat.
Baidzawi berkata momentum pembangunan di Kelantan yang semakin meningkat ini mencerminkan keyakinan kukuh pelabur dan semua pihak berkepentingan terhadap potensi negeri untuk berkembang dalam jangka masa panjang.
Katanya projek-projek infrastruktur utama seperti Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang kini telah mencapai tahap 22 peratus siap, serta projek sambungan pengangkutan utama seperti rangkaian Laluan Rel Pantai Timur akan memperbaiki kesalinghubungan dan mengukuhkan kedudukan Kelantan dalam koridor ekonomi serantau.
"Projek-projek pemangkin ini diharap dapat membuka laluan pelaburan baharu, menggerakkan pertumbuhan industri dan pelancongan serta memperbaiki kualiti hidup komuniti setempat.
"ECERDC komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta agensi persekutuan bagi memastikan pembangunan ini memberi impak menyeluruh dan lestari kepada warga Kelantan," katanya. --
-- BERNAMA