BERITA TERKINI   Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar AS pada rehat tengah hari | Setakat ini, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART - Johari | MITI bersama agensinya, MATRADE dan MIDA dibantu oleh MIDF Research sedang melaksanakan analisis kos-faedah (CBA) bagi ART - Johari | Pelaksanaan projek Loji Janakuasa 120MW di Zon Perindustrian Rancha-Rancha pastikan kecukupan bekalan tenaga elektrik di Labuan - TPM Fadillah | Angka ekonomi positif berjaya memperkukuh kedudukan ringgit - PM Anwar | 

PM Anwar, Modi Mahu Perkukuh Hubungan Dua Hala Malaysia-India Ke Tahap Lebih Strategik

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia dan India berhasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata hasrat itu dizahirkan menerusi panggilan telefon yang diterima malam tadi daripada rakan sejawatnya Perdana Menteri India Narendra Modi bagi membincangkan usaha berkenaan.

"India kekal sebagai rakan penting Malaysia di lapangan perdagangan dan pelaburan selain kerjasama erat dalam sektor teknologi, pendidikan serta keselamatan serantau," katanya menerusi hantaran di laman sosial X hari ini.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perbincangan bersama Modi turut menyentuh mengenai penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini. 

Beliau berkata Modi akan menghadiri sidang kemuncak itu secara atas talian memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di India pada ketika itu. 

"Saya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India. 

"Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia-India dan meningkatkan lagi kerjasama ASEAN-India ke arah rantau yang lebih aman dan makmur," katanya.

-- BERNAMA