BERITA TERKINI   Sumbangan penajaan lebih RM22 juta untuk HKHM 2025 amat membanggakan - Fahmi | Fahmi berpuas hati sambutan HKHM 2025 yang berjalan lancar | 

FBM KLCI Ditutup Tinggi Susulan Bursa Jejaki Trend Meningkat Pasaran Serantau, Global

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Selasa berikutan bursa tempatan menjejaki trend meningkat pasaran serantau dan global sehari selepas cuti umum Hari Deepavali.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 9.65 mata atau 0.60 peratus kepada 1,616.83 daripada 1,607.18 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran dibuka mengukuh 4.6 mata kepada 1,611.78 dan bergerak antara 1,609.02 dan 1,617.15 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran meluas adalah positif apabila 779 kaunter untung mengatasi 369 kaunter rugi manakala 496 kaunter tidak berubah, 1,028 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung dagangan.

Bagaimanapun, jumlah dagangan rendah kepada 3.68 bilion unit bernilai RM2.55 bilion berbanding 3.81 bilion unit bernilai RM3.03 ​​bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau meneruskan kenaikan sejak semalam berikutan keyakinan yang semakin meningkat terhadap ketegangan perdagangan yang dijangka mereda antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Keadaan ini berlaku berikutan kenyataan Presiden AS Donald Trump yang menyatakan keyakinan bahawa beliau boleh mencapai perjanjian perdagangan yang adil dengan Presiden China Xi Jinping.

Di dalam negara, beliau berkata pasaran tempatan dilihat menjejaki prestasi pasaran serantau.

“Aktiviti dagangan telah meningkat yang menunjukkan bahawa pelabur beransur-ansur memasuki semula pasaran selepas aktiviti pengambilan untung.

“Sentimen keseluruhan lebih membina, dengan indeks petunjuk pasaran mengekalkan kestabilan melepasi paras 1,600. Kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,600-1,630minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing menambah satu sen kepada RM9.90 dan RM7.35. Public Bank naik tujuh sen kepada RM4.27, Tenaga Nasional meningkat 14 sen kepada RM13.24 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.30.

Bagi saham paling aktif, Tanco dan Velesto masing-masing menambah satu sen kepada 87 sen dan 26 sen manakala EA Holdings dan TWL kedua-duanya tidak berubah pada setengah sen dan 2.5 sen, dan HHRG rendah setengah sen kepada tujuh sen.

Saham paling untung antaranya Nestle yang melonjak RM4.50 kepada RM109.50 manakala Malaysian Pacific Industries menokok 92 sen kepada RM29.84, dan Petronas Dagangan menambah 32 sen kepada RM22.54. KSL meningkat 28 sen kepada RM3.11.

Antara saham paling rugi menyaksikan Dutch Lady menyusut 38 sen kepada RM26.18, Malayan Cement rendah 13 sen kepada RM6.57, dan Binastra susut 10 sen kepada RM2.22. Cyberjaya Education berkurangan 8.5 sen kepada 78 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 77.79 mata kepada 12,082.70, Indeks FBMT 100 naik 71.37 mata kepada 11,813.39, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 100.18 mata kepada 12,157.45, Indeks FBM 70 meningkat 106.99 mata kepada 17,114.93, dan Indeks FBM ACE menambah 32.54 mata kepada 5,311.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 61.04 mata kepada 18,253.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.33 mata kepada 171.38, Indeks Tenaga menambah 3.35 mata kepada 792.28, dan Indeks Perladangan mengukuh 41.21 mata kepada 7,902.07.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.21 bilion daripada 2.24 bilion unit bernilai RM2.69 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.58 bilion unit bernilai RM189.80 juta berbanding 1.07 bilion unit bernilai RM116.62 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 425.07 juta unit bernilai RM145.50 juta daripada 497.93 juta unit bernilai RM216.54 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 376.41 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (354.02 juta), pembinaan (93.25 juta), teknologi (290.65 juta), perkhidmatan kewangan (53.10 juta), hartanah (219.92 juta), perladangan (25.36 juta), amanah pelaburan hartanah (13.64 juta), dana tertutup (12,600), tenaga (110.08 juta), penjagaan kesihatan (80.53 juta), telekomunikasi dan media (24.1 juta), pengangkutan dan logistik (24.14 juta). utiliti (22.46 juta), dan amanah perniagaan (29,500).

-- BERNAMA