BERITA TERKINI   Pelancaran bantuan untuk pengguna buat keputusan, bantu individu rancang kewangan penjagaan kesihatan - JBMKKS | Hospital swasta layak mohon insentif cukai tubuhkan dana kebajikan bagi galakkan dan biayai perkhidmatan penjagaan kesihatan amal kepada pesakit kurang bernasib baik - JBMKKS | Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) sokong inisiatif utama perluas akses dan pilihan penjagaan kesihatan | Pelantikan Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi BN Sabah adalah bagi persediaan hadapi PRU16 - Ahmad Zahid | Orang ramai dibenar mohon kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LLM) tanpa kemuka bukti keluar negara bermula esok - MOT | 

IILM Pertingkat Nilai Program Sukuk Kepada US$8.5 Bilion

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) hari ini mengumumkan peningkatan nilai program sukuknya daripada US$6 bilion kepada US$8.5 bilion (US$1=RM4.22). 

Dalam kenyataannya, IILM berkata pencapaian itu hanya mengukuhkan lagi peranannya sebagai penyedia utama Aset Mudah Tunai Berkualiti Tinggi (HQLA) yang menyokong keperluan mudah tunai rentas sempadan institusi kewangan Islam di serata dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Safri Shahul Hamid berkata peningkatan nilai itu mewakili trajektori pertumbuhan berterusan IILM serta komitmen menyediakan platform mantap untuk pengurusan mudah tunai dalam sistem kewangan Islam.

“Peningkatan nilai terbaharu bagi program sukuk ini adalah susulan kepada penambahan saiz daripada US$4 bilion kepada US$6 bilion dan memaparkan momentum pertumbuhan IILM serta peranan pentingnya dalam memajukan pengurusan kecairan Islam global.

“Menerusi usaha memperdalam dan mempelbagaikan asas aset, kita berada dalam kedudukan lebih baik untuk menyokong perubahan keperluan institusi kewangan Islam di serata dunia selain mengukuhkan daya tahan ekosistem kewangan Islam,” katanya.

Sejak terbitan pertamanya pada 2013, IILM telah menerbitkan lebih US$130 bilion menerusi lebih 300 siri sukuk jangka pendek dengan tempoh matang sebulan hingga 12 bulan.

Instrumen IILM turut diberi penarafan “A-1” oleh S&P Global Ratings dan “F1” oleh Fitch Ratings.

-- BERNAMA