BERITA TERKINI   Raja Maha Vajiralongkorn memperkenankan Dekri Diraja bagi membubarkan Parlimen Thailand, menurut Warta Diraja pada Jumaat | 

Pasaran Getah Teruskan Prestasi Bercampur-campur, Jejaki Pasaran Serantau

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia kekal ditutup bercampur-campur hari ini, mencerminkan kelembapan niaga hadapan getah serantau serta ketidaktentuan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Katanya, sentimen pasaran menunjukkan pemulihan berikutan perkembangan positif industri automotif global di samping peningkatan keyakinan terhadap penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data ekonomi China yang lemah dan peningkatan ketegangan perdagangan antara AS dan China.

“Niaga hadapan getah Jepun merosot sedikit akibat tekanan daripada pengukuhan yen walaupun terdapat permintaan yang kukuh daripada sektor automotif China.

“Harga minyak pula mencatatkan aliran bercampur pada Khamis selepas Donald Trump menyatakan India berjanji untuk menghentikan pembelian minyak daripada Rusia. Bagaimanapun, kementerian luar India tidak mengulas mengenai kenyataan Trump berkaitan pembelian minyak Rusia oleh India,” kata peniaga itu kepada Bernama.

Pada 5.17 petang, minyak mentah Brent naik 0.65 peratus kepada US$62.30 setong.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat lapan sen kepada 747.50 sekilogram, manakala lateks pukal turun 1.5 sen kepada 570 sekilogram.

-- BERNAMA