BERITA TERKINI   Kerajaan tubuh jawatankuasa khas laksana kajian berhubung isu di sekolah, laporan akan dibentang dalam masa terdekat - Fahmi | Kerajaan teliti keperluan tingkatkan kehadiran polis di sekolah - Fahmi | Penutupan jalan semasa Sidang Kemuncak ASEAN dilaksana secara berperingkat - Fahmi | Kerajaan cadang naikkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun, daftar guna dokumen rasmi - Fahmi | Sidang Kemuncak ASEAN: Kerajaan Selangor beri kelonggaran penjawat awam negeri, GLC bekerja dari rumah - MB Selangor | 

Kedaulatan Digital Asas Utama Keselamatan Tenaga Di ASEAN

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kedaulatan digital menjadi asas kepada keselamatan tenaga seiring pendigitalan pesat ASEAN yang dipacu oleh integrasi grid pintar, tenaga boleh baharu dan teknologi berasaskan data.

Pakar digital berkata seiring dengan kemajuan rantau ini ke arah infrastruktur tenaga yang saling berhubung dan pintar, perlindungan terhadap aset digital kini sama pentingnya dengan perlindungan ke atas aset fizikal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda DNeX Cloud Muhammad Ashraff Ismail kedaulatan digital bukan sahaja mencerminkan keupayaan sesebuah negara mengawal data dan sistemnya sendiri, malah menjadi asas kepercayaan dalam konteks keselamatan, ekonomi dan keyakinan pelabur.

“Kepercayaan adalah segala-galanya, dari aspek kebolehpercayaan perkhidmatan, keselamatan negara hingga kestabilan ekonomi. Apabila sesebuah organisasi memiliki sistem digital yang berdaulat, ia memberi jaminan dan ketenangan kepada rakyat serta perniagaan,” katanya semasa sesi panel bertemakan "Digital Innovation for Energy Transition" pada Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 (AEBF-25) di sini hari ini.

Sesi berkenaan dihoskan oleh Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Digital Gamuda Group Bhd Sachdave Singh.

Mengulas lanjut, Muhammad Ashraff menegaskan bahawa dua komponen utama dalam mencapai keselamatan tenaga yang mampan iaitu operasi yang stabil dan perlindungan menyeluruh terhadap infrastruktur tenaga dan digital daripada gangguan dalaman mahupun luaran.

"Apabila kedua-dua asas ini kukuh, keselamatan ekonomi akan menyusul secara semula jadi. Pelabur akan melihat negara ini sebagai stabil dan disokong oleh infrastruktur digital tenaga yang kukuh," katanya.

Beliau menegaskan bahawa kedaulatan digital bukan lagi pilihan malah satu keperluan dalam memastikan daya tahan negara dalam mendepani era digital yang serba mencabar.

Sementara itu, Ketua Keselamatan Siber dan Penyampaian Program Gamuda DNeX Cloud Ramana Ramakrishna menggariskan betapa pentingnya peranan sektor tenaga dalam memacu keselamatan digital negara secara menyeluruh.

Katanya, sektor itu menjadi nadi kepada sektor lain seperti penjagaan kesihatan, pengangkutan dan perkhidmatan awam, selain berperanan besar dalam membentuk dan mengekalkan kepercayaan rakyat.

"Maka, ia perlu sentiasa selamat, berdaya tahan dan beroperasi tanpa gangguan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ramana berkata untuk mengekalkan keberkesanan loji janakuasa dan grid memerlukan rangka kerja nasional yang kukuh dan infrastruktur awam yang berdaya tahan dan mampu menahan segala bentuk ancaman.

"Pada masa depan, sektor tenaga akan mempunyai banyak grid baharu, (seperti) loji dan stesen tenaga solar serta peningkatan ketersediaan sumber maya di seluruh negara. Bagaimanapun, pengembangan ini juga mendedahkan sektor itu kepada risiko ancaman siber yang lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA