NexG Peroleh Lanjutan Kontrak 18 Bulan Bagi Pembekalan I-kad
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- NexG Bhd menerima pelanjutan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membekalkan kad pekerja asing (i-Kad) kepada Jabatan Imigresen.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) pada 15 Okt, 2025 menerima Surat Pindaan daripada KDN bertarikh 6 Okt 2025, yang melanjutkan tempoh kontrak selama 18 bulan, bermula 1 Nov, 2025 hingga 30 April, 2027.
Terdahulu, kontrak asal bernilai RM140 juta itu mula berkuat kuasa pada 1 Nov, 2022 dan tamat pada 31 Okt, 2025.
NexG berkata pindaan itu tidak mengubah nilai siling, kuantiti atau nilai item, dan kontrak itu kekal dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus.
Di bawah terma baharu, DTSB dikehendaki mengemukakan bon pelaksanaan bernilai RM2.33 juta yang sah sehingga 30 April, 2028.
“Surat Pindaan ini tertakluk kepada risiko perniagaan biasa termasuk keadaan ekonomi, perubahan peraturan kerajaan, serta faktor operasi seperti peningkatan kos. Langkah kawalan sewajarnya akan diambil bagi mengurangkan risiko tersebut,” kata syarikat itu.
NexG berkata lanjutan kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2026 serta tahun-tahun berikutnya sepanjang tempoh lanjutan kontrak itu.
-- BERNAMA