New Zealand Tawar Kepakaran Pertanian Tingkat Hubungan Dengan ASEAN - PM Luxon
Oleh Nor Baizura Basri
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- New Zealand menawarkan kepakarannya serta pemindahan pengetahuan kepada negara anggota ASEAN, khususnya dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan pertanian, untuk mengukuhkan lagi hubungan melangkaui dialog, kata Perdana Menteri Christopher Luxon.
Mengimbas kembali perkongsian selama 50 tahun antara kedua-duanya, Luxon berkata banyak lagi yang boleh ditawarkan New Zealand kepada perkumpulan tersebut yang turut melengkapkan apa yang boleh ditawarkan oleh ASEAN kepada negara tersebut.
Beliau berkata dalam bidang TBB dan elektrik, contohnya, New Zealand merupakan salah satu daripada sepuluh negara teratas di dunia, dengan 85 peratus hingga 87 peratus tenaganya datang daripada sumber boleh baharu.
“New Zealand melakukan banyak usaha perintisan berkaitan tenaga geoterma, (dengan ramai) rakyat Malaysia dan Indonesia yang datang ke universiti kami untuk belajar (bidang itu) di bawah Rancangan Colombo (inisiatif kerjasama serantau untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial dalam kalangan negara Komanwel).
“Kami juga mengeksport pengetahuan kami tentang tenaga geoterma, khususnya ke Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di Auckland baru-baru ini.
Wawancara itu disiarkan dalam program khas Bernama TV hari ini bertajuk “New Zealand and ASEAN At 50 Years Partnership” (Perkongsian selama 50 Tahun New Zealand dan ASEAN) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan, yang bermula Selasa depan.
Beliau juga berkata ASEAN boleh belajar daripada amalan terbaik perladangan New Zealand yang merupakan antara yang paling mampan dan cekap karbon di dunia.
Menurutnya, ini amat penting ketika negara-negara ASEAN mencari amalan pertanian dengan cara yang lebih mampan untuk memastikan keterjaminan makanan pada masa depan.
Luxon yang berada di sini sempena lawatan rasmi pada awal tahun lepas, dijangka menghadiri sidang kemuncak tersebut.
ASEAN, yang terdiri daripada 10 negara anggota, merupakan rakan dagangan keempat terbesar New Zealand, dengan perdagangan dua hala kini bernilai lebih daripada NZ$29 bilion setahun (NZ$1=RM2.41).
-- BERNAMA