BERITA TERKINI   Kedua-dua aerotrain di Terminal 1 KLIA mengalami gangguan kuasa sementara, mengakibatkan gangguan perkhidmatan pada pukul 8.30 malam hari ini - Malaysia Airports | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) --  Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini selepas terjejas oleh peningkatan dalam inventori minyak sawit domestik termasuk penurunan dalam pasaran minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Pedagang minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran terus direncatkan oleh kebimbangan yang diperbaharui berkenaan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

"Oleh itu, kami melihat sokongan untuk harga MSM pada paras RM4,400 setan dan rintangan pada RM4,580 setan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, data daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Minyak Kelapa Sawit Selatan (SPPOMA) menunjukkan bahawa pengeluaran minyak sawit untuk tempoh 1-10 Okt menokok sebanyak 6.59 peratus, ini menambah lagi tekanan ke atas harga.

Pada penutup, kontrak Oktober 2025 turun RM70 kepada RM4,350 setan, manakala November 2025 susut RM46 kepada RM4,407 setan dan Disember 2025 jatuh sebanyak RM38 kepada RM4,461.

Kontrak Januari 2026 melemah sebanyak RM27 kepada RM4,496 setan, Februari 2026 berkurangan RM23 kepada RM4,502, manakala Mac 2026 adalah RM21 lebih rendah kepada RM4,487. 

Jumlah dagangan naik kepada 119,170 lot berbanding 95,626 yang dicatatkan pada hari Isnin, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 278,862 kontrak daripada 277,517 sebelum ini.

Di pasaran fizikal, Oktober Selatan merosot RM30 kepada RM4,420 setan.

-- BERNAMA