Syor Laksanakan Moratorium Kenaikan Premium Insurans Mulai Akhir 2026 -- Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan diminta melaksanakan langkah moratorium ke atas semua kenaikan premium insurans perubatan bermula akhir 2026 selepas tamat tempoh pengawalan kenaikan 10 peratus sehingga pelaksanaan penuh sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) di sektor awam dan swasta.

Ahli Parlimen Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkata langkah itu dijangka mendorong syarikat insurans dan hospital swasta membantu kerajaan melengkapkan pelaksanaan sistem DRG secara menyeluruh.

"Jika kerajaan tidak mengawal inflasi perubatan swasta, lebih ramai lagi pesakit akan beralih dari sistem swasta ke kerajaan.

“Ini akan turut mewujudkan tekanan dalam kalangan syarikat insurans untuk mengawal tuntutan daripada hospital swasta serta menyenarai hitam pihak yang cenderung mengenakan caj berlebihan, memandangkan ada hospital yang mungkin memindahkan kos tambahan kepada pemegang polisi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, mengulas isu tenaga boleh baharu (TBB), Yeo turut mencadangkan agar kerajaan meluaskan Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) kepada pengguna sedia ada dan tidak hanya dihadkan kepada permintaan baharu.

"Cadangan ini bukan sahaja akan merancakkan lagi perkembangan industri TBB, malah dapat membantu syarikat multinasional bertapak di Malaysia untuk memenuhi sasaran karbon dan sekaligus menggalakkan lebih banyak pelaburan," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) meminta agar kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dipercepatkan yang bakal menjadi instrumen utama serta panduan dalam menghadapi perubahan iklim.

Beliau berkata kewujudan RUU berkenaan penting berikutan rancangan kerajaan melaksanakan cukai karbon bermula tahun depan sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2026.

-- BERNAMA