Seminar Industri Tuna Labuan Pacu Transformasi Industri Tuna Negara

LABUAN, 13 Okt (Bernama) -- Persidangan Tuna Labuan 2025 yang julung kali diadakan menandakan pencapaian penting bagi Labuan, seiring dengan perkembangan pesat industri tuna tempatan serta aspirasi Malaysia untuk menjadi hab tuna serantau.

Dianjurkan bersama antara Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Perbadanan Labuan, persidangan dua hari bermula 13-14 Oktober di Dewan Konvensyen Financial Park itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Kesejahteraan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Seramai 140 peserta termasuk wakil agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti perikanan tempatan hadir pada persidangan berkenaan.

Lima kertas kerja dibentangkan pada persidangan itu, merangkumi pembangunan hab tuna strategik, pengurusan sumber bernilai tinggi, penambahbaikan kualiti hasil tangkapan, peluang pelaburan dalam pemprosesan makanan serta kerjasama kerajaan-industri.

Dalam ucapannya, Arthur menyifatkan persidangan ini sebagai platform penting mengukuhkan kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia demi mempertingkatkan rantaian nilai tuna negara.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM220,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk melaksanakan program peningkatan kualiti pasca tuai dan nilai tambah sektor tuna di Labuan.

Ini termasuk penyediaan peralatan pembangunan payao tuna dan kemudahan pemprosesan produk perikanan bagi meningkatkan keupayaan usahawan tempatan menghasilkan produk bernilai tinggi.

Arthur berkata industri tuna Malaysia terus menunjukkan kemajuan, dengan tangkapan keseluruhan sebanyak 88,725 tan bernilai kira-kira RM890 juta pada 2024, dengan Sabah menyumbang paling besar iaitu 22,995 tan (RM177 juta), diikuti Labuan 1,296 tan (RM12 juta).

Beliau juga menyeru pemain industri agar terus berinovasi dan mematuhi piawaian antarabangsa seperti Halal, Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) bagi meningkatkan daya saing produk tuna Malaysia di peringkat global, sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan matlamat keterjaminan makanan negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata seminar ini menjadi landasan penting bagi membina sinergi kukuh antara dasar dan pelaksanaan dalam usaha mempercepat transformasi industri tuna negara.

Beliau berkata hala tuju pembangunan industri tuna kini digerakkan melalui Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021–2030, yang berfungsi sebagai panduan utama ke arah pengurusan dan pembangunan sektor tuna negara secara mampan dan berdaya saing.

Pelan ini memberi tumpuan kepada enam teras utama, iaitu pematuhan piawaian domestik dan antarabangsa; pembangunan spesifikasi vesel dan kuota tangkapan lestari; penggunaan teknologi moden dalam perikanan tuna; pengukuhan pengurusan dan integriti industri; peningkatan kapasiti penguatkuasaan; serta penambahbaikan kualiti pasca tuai dan pengeluaran produk nilai tambah yang mampu menembusi pasaran eksport.

Beliau berkata industri tuna bukan sekadar aktiviti penangkapan, tetapi merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada pendaratan, penyelidikan, logistik, pemprosesan hingga pemasaran produk.

Katanya, dalam konteks ini, Labuan dan Sabah berpotensi besar menjadi pemacu utama kepada pembentukan Hab Tuna Nasional melalui pelaburan strategik, pembangunan fasiliti moden serta kolaborasi rentas agensi dan sektor swasta.

Adnan turut menyeru semua peserta seminar agar terus menyumbang idea dan pandangan bagi membentuk ekosistem industri tuna negara yang mampan, inovatif dan berimpak tinggi, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen kerajaan dalam memastikan “Food Security is a Shared Responsibility.”

-- BERNAMA