BERITA TERKINI   Kerajaan Persekutuan serius bela nasib pekerja gig dan anak muda Sabah – TPM Ahmad Zahid | TPM Ahmad Zahid gesa anak muda Sabah jadi pemacu kestabilan politik dan kemajuan negeri | Media bebas kritik, tetapi masa sama siarkan jawapan daripada kerajaan - PM Anwar | RM2 billion diperuntuk untuk tingkat kesalinghubungan di Sabah, tumpuan kolej, universiti dan pejabat kerajaan - PM Anwar | Hubungan baik antara negeri dan Persekutuan penting, jangan hasut anggota keselamatan - Khaled Nordin | 

BPMB Group Terajui Inisiatif Strategik Lebih RM9 Bilion Di Bawah Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan menerajui inisiatif strategik berjumlah lebih RM9 bilion di bawah Belanjawan 2026 untuk merealisasikan visi Ekonomi MADANI melalui pembiayaan berimpak tinggi, pemerkasaan eksport dan pembangunan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bersama anak syarikatnya, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank), kumpulan itu akan menerajui pelbagai program pembiayaan baharu bagi memacu pertumbuhan dalam sektor berimpak tinggi dan menyokong agenda nasional.

Ini termasuk Program Pembiayaan Semikonduktor (RM500 juta), Program Pembangunan MADANI (RM3 bilion) dan Program Pembaharuan Bandar dan Pelancongan (RM1 bilion).

“Mandat baharu ini melengkapi dan memperkukuh program sedia ada BPMB dengan jumlah keseluruhan lebih RM2 bilion dalam beberapa sektor utama.

“Ini termasuk sektor pengangkutan dan logistik, tenaga boleh baharu dan peralihan, pembangunan mampan dan peralihan, pembangunan ekonomi bumiputera, infrastruktur digital dan sektor berimpak tinggi serta akses modal,” menurut bank itu dalam kenyataan hari ini. 

Katanya SME Bank akan terus memperkukuh ekosistem PMKS melalui program pembiayaan dan pembangunan kapasiti yang disasarkan untuk meningkatkan daya saing, daya tahan dan inovasi.

Ini termasuk Skim Pemacu Koperasi (RM100 juta), Dana Induk Payung (RM200 juta),  Technology Adoption Fund (RM300 juta), Dana Pemangkin Ekosistem IBS 3.0 (RM200 juta), Maju Usahawan MADANI 2.0 (geran RM2 juta) dan Program Eksport Perniagaan (geran RM6 juta).

EXIM Bank pula akan terus memperkukuh kedudukan perdagangan global Malaysia melalui inisiatif Skim Eksport Lonjakan (RM500 juta) dan Malaysia Global Connect (MGC Go Export Cover) (RM5 juta). 

-- BERNAMA