BERITA TERKINI   Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | Kerja SPRM adalah kembalikan wang rakyat yang diseleweng, MOF tentukan bagaimana wang tersebut disalurkan semula - Azam Baki | 

Ringgit Kekal Stabil Didorong Optimisme Pasca Belanjawan Imbangi Pengukuhan Dolar AS

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS pada Isnin berikutan pelabur terus cenderung terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu manakala perkembangan positif dalam negara selepas pembentangan Belanjawan 2026 membantu mengimbangi tekanan tersebut.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan tidak berubah pada 4.2200/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2200/2260 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini menunjukkan kerajaan terus mengekalkan disiplin fiskalnya, dengan defisit fiskal dijangka berkurangan lagi kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 berbanding 3.8 peratus tahun ini.

“Mungkin akan terdapat sokongan untuk ringgit selepas mencatatkan pembetulan. Ringgit dijangka berada antara RM4.20 dan RM4.21 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, katanya Indeks Dolar AS (DXY) berada pada trajektori yang lemah pada paras 98.978 mata, merosot 0.58 peratus pada Jumaat lalu selepas Presiden AS Donald Trump mengancam untuk menaikkan tarif import kepada 100 peratus ke atas semua eksport dari China ke AS.

Pada sesi pembukaan, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.7756/7799 daripada 2.7618/7659 semasa ditutup pada Jumaat lepas, berkurangan berbanding pound kepada 5.6295/6375 daripada 5.6084/6164 dan menurun berbanding euro kepada 4.8960/9030 daripada 4.8838/8907.

Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN. 

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2524/2575 daripada 3.2494/2543 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9186/9457 daripada 12.8942/9184 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 254.6/255.1 daripada  254.6/255.1 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.24/7.26 daripada 7.24/7.26.

-- BERNAMA