Belanjawan 2026 Papar Peralihan Kepada Pertumbuhan Berpacu Pelaburan, Kekal Disiplin Fiskal - Ahli Ekonomi
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 memaparkan peralihan penting dalam hala tuju ekonomi Malaysia, daripada penggunaan berteraskan subsidi kepada transformasi berteraskan pelaburan berikutan kerajaan meneruskan usaha konsolidasi fiskal di samping mengekalkan momentum pertumbuhan, kata ahli ekonomi.
Bagaimanapun mereka menekankan bahawa pelaksanaan kekal sebagai cabaran utama terhadap kredibiliti langkah pengurusan kewangan yang digariskan dalam belanjawan berkenaan.
Penasihat Ekonomi Kanan Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik yang juga Ahli Majlis Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Anthony Dass berkata keupayaan kerajaan untuk mengekalkan pertumbuhan antara 4.0 hingga 4.5 peratus di samping mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus menunjukkan daya tahan fiskal yang diyakini dalam persekitaran global yang tidak menentu.
“Ini bukan belanjawan jimat cermat. Ini belanjawan berdisiplin bagi pertumbuhan.
“Kawalan ketirisan, rasionalisasi subsidi dan kutipan semula melalui penguatkuasaan sebanyak RM15.5 bilion telah mewujudkan ruang fiskal kepada pelaburan dalam sektor penting seperti produktiviti, pendidikan, penjagaan kesihatan dan peralihan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Dass berkata perbelanjaan awam kerajaan berjumlah RM470 bilion mencerminkan pendekatan berdisiplin namun pragmatik, yang membolehkan Malaysia mengimbangi realisme fiskal dengan aspirasi pembangunan.
“Malaysia sedang beralih daripada kebergantungan terhadap subsidi jangka pendek kepada pelaburan jangka panjang dalam keupayaan dan daya saing -- inilah transformasi sebenar yang sedang berlaku melalui Belanjawan 2026,” katanya.
Menurutnya belanjawan ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia terbuka kepada perniagaan, namun berteraskan nilai yang lebih tinggi melalui langkah yang menggalakkan syarikat untuk berkembang, mendigitalkan operasi dan menyahkarbonkan.
Antara inisiatif itu adalah pembiayaan dan jaminan kepada PKS berjumlah RM10 bilion, insentif cukai selama 10 tahun bagi modal teroka dan Dana Pelaburan Hijau sebanyak RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB).
Menurutnya penjajaran instrumen fiskal dengan strategi nasional seperti Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan memperteguh keyakinan pelabur dan menarik masuk modal institusi melalui Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan BPMB.
“Pendekatan Belanjawan 2026 memberi isyarat kesinambungan dasar yang meyakinkan -- sesuatu yang telah lama diinginkan oleh pasaran dan pelabur,” katanya sambil memaklumkan agenda transformasi hijau, digital dan serantau memperteguh peralihan Malaysia ke arah pertumbuhan mampan bernilai tinggi.
Beliau turut menyambut baik penekanan kerajaan terhadap aspek keterangkuman menerusi peruntukan terbesar terhadap Sabah dan Sarawak merangkumi jalan raya, utiliti dan infrastruktur digital, dan menyifatkannya sebagai langkah menjadikan penyertaan wilayah sebagai strategi ekonomi, bukan sekadar agenda keadilan sosial.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap disiplin fiskal di samping memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.
Beliau berkata jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM419.2 bilion berbanding tahun sebelum ini masih besar sekali gus mencerminkan keseimbangan berhati-hati antara reformasi dan daya tahan ekonomi.
“Kerajaan kekal berwaspada terhadap disiplin fiskal, seperti yang ditunjukkan melalui usaha mengurangkan jurang belanjawan sambil mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata permintaan domestik kekal sebagai pemacu pertumbuhan Malaysia pada 2026, disokong oleh pengembangan penggunaan swasta sebanyak 5.4 peratus dan pertumbuhan pelaburan yang stabil sebanyak 7.7 peratus, meskipun permintaan luar dijangka kekal lemah.
Beliau berkata bantuan bersasar kerajaan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan jaminan pembiayaan mikro di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan membantu meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah serta mengekalkan momentum perbelanjaan.
“Bantuan tunai seperti STR dan SARA mampu mengurangkan tekanan kewangan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah manakala jaminan SJPP bagi perusahaan mikro pula meningkatkan akses kredit dan keusahawanan,” katanya.
Mohd Afzanizam turut menekankan insentif pengecualian cukai kerajaan bagi pelaburan agromakanan, yang boleh memperkukuh keterjaminan makanan dan tahap sara diri negara dalam jangka panjang.
Kalangan ahli ekonomi ini juga sependapat bahawa kerangka Belanjawan 2026 bersifat reformis namun realistik, dengan keseimbangan antara konsolidasi fiskal dan pertumbuhan ekonomi, disokong oleh subsidi bersasar, reformasi institusi dan pelaburan hijau.
Bagaimanapun, Dass menegaskan bahawa pelaksanaan akan menjadi penentu utama kepada kredibiliti belanjawan berkenaan.
“Struktur belanjawan ini adalah kukuh, namun, isu sebenar bukan pada jumlah peruntukan, tetapi keupayaan pelaksanaan. Insentif dan dana perlu diterjemahkan kepada penyaluran lebih pantas, pengurangan kerenah birokrasi dan pencapaian yang dapat diukur,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia perlu memastikan penjimatan daripada rasionalisasi subsidi disalurkan kepada pelaburan produktif, bukannya langkah populis jangka pendek manakala Model Gaji Progresif pula perlu berpaksikan peningkatan produktiviti sebenar, bukan semata-mata pematuhan peraturan.
“Belanjawan ini menetapkan hala tuju yang betul, namun disiplin pelaksanaan akan menentukan kejayaannya. Kerajaan telah membina kerangka, kini cabarannya adalah memastikan pelaksanaan seiring dengan aspirasi,” katanya.
-- BERNAMA