BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Belanjawan 2026: MAA Seru Kerajaan Kekalkan Kerangka Dasar Seimbang Sokong Segmen EV

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyeru kerajaan agar mempertimbangkan untuk mengekalkan kerangka dasar yang seimbang bagi terus menyokong kedua-dua segmen kenderaan elektrik (EV) model import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD).

Ini berikutan penamatan tempoh insentif bagi EV CBU, dan menurutnya penting agar insentif itu diteruskan sekurang-kurangnya pada peringkat awal peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik.

“Ekosistem EV di Malaysia masih di peringkat awal pembangunan. Insentif berterusan untuk model CBU amat penting bagi mewujudkan kesedaran pengguna, keyakinan pasaran dan kesediaan permintaan.

“Ketiga-tiga aspek ini merupakan prasyarat utama kepada kejayaan jangka panjang program pemasangan EV tempatan,” kata MAA dalam satu kenyataan hari ini sebagai maklum balas terhadap pembentangan Belanjawan 2026 semalam.

MAA turut menegaskan bahawa kerajaan perlu terus menyesuaikan dasar-dasarnya selaras dengan kemajuan teknologi dan perkembangan pesat industri global.

Pada masa sama, persatuan itu tetap yakin kerajaan akan terus mengambil pendekatan jangka panjang dalam membentuk landskap dasar EV negara.

Ini kerana landskap automotif yang berubah pantas menuntut kerangka dasar yang progresif dan adaptif bagi memudahkan pengembangan industri serta penerapan teknologi berimpak tinggi, katanya.

MAA turut menyambut baik geran padanan RM4,000 yang diperkenalkan untuk menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan berusia lebih 20 tahun, yang disifatkan sebagai langkah progresif ke arah meningkatkan keselamatan, memelihara kemampanan alam sekitar dan menyokong jenama kereta nasional.

“Bagi meningkatkan lagi kesan positif inisiatif ini, MAA mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk meluaskan kelayakan program tersebut kepada model CKD jenama automotif lain,” kata persatuan itu.

-- BERNAMA