BERITA TERKINI   GRS menetapkan sasaran kutipan hasil negeri mencecah RM10 bilion menjelang 2030 - Armizan | Hasil Sabah melonjak kepada RM6.87 bilion pada tahun 2024 berbanding RM3.59 bilion pada 2020 di bawah pentadbiran kerajaan GRS - Armizan | PRN : GRS berikrar tubuh Sabah Sovereign Wealth Fund tahun depan jika diberi mandat - Armizan | Manifesto GRS dipacu empat rukun utama dan 16 strategi, tawar agenda pembangunan menyeluruh - Hajiji | GRS lancar manifesto dengan tema 'Rumah Kita, Kita Jaga', aku janji lima tahun bawa Sabah maju dan sejahtera - Hajiji | 

Belanjawan 2026 Pacu Prospek Fiskal, Ringgit Dijangka Mengukuh Minggu Depan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan yang sebaliknya terbatas selepas mata wang tempatan mendapat sokongan prospek fiskal lebih positif susulan pengumuman Belanjawan 2026 pada Jumaat.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata di sebalik sokongan aliran masuk pelaburan selamat dan ketidakpastian politik yang berlanjutan di AS, momentum dolar AS kian suram dengan pasaran menjangkakan kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar faedah menjelang akhir Oktober 2025.

Di peringkat tempatan, beliau berkata Malaysia dilihat berada di landasan fiskal diyakini, disokong oleh sasaran defisit 3.5 peratus, perbelanjaan serta langkah strategik bagi menggerakkan lembaran imbangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang akan hanya menarik keyakinan pelabur.

“Dalam jangka sederhana misalnya, ringgit dijangka mengukuh secara beransur-ansur sejajar dengan pengurangan defisit fiskal dan peningkatan kredibiliti dasar negara.

“Secara keseluruhan, USD/MYR dijangka bergerak dalam julat terhad dengan sentimen pasaran kekal stabil, kecuali berlaku kejutan besar dalam data inflasi AS atau sentimen risiko global,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS apabila ditutup pada paras 4.2200/2260  berbanding 4.2055/2125, sebelumnya.

Namun, ringgit mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.7618/7659 daripada 2.8537/8586, menokok berbanding euro kepada 4.8838/8907 daripada 4.9360/9442 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6084/6164 daripada 5.6577/6671.

Pada masa sama, ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN, kecuali susut berbanding rupiah Indonesia kepada 254.6/255.1 daripada 253.9/254.4 sebelum ini.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2494/2543 daripada 3.2621/2678, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8942/9184 daripada 12.9807/13.0084 dan mengukuh sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.24/7.26 daripada 7.26/7.28.

-- BERNAMA