BERITA TERKINI   Peralihan MyBorderPass dan MyDigitalID kepada sistem MyNIISe akan diperluas secara berperingkat di pintu masuk negara bermula tahun ini - Saifuddin Nasution | Pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi 2027 dilaksana secara dalam talian bermula 15 Feb hingga 31 Mac - KP Pendidikan | Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | Kes libatkan pegawai tertinggi ATM: MINDEF tidak akan lindungi sesiapa, beri kerjasama penuh pastikan siasatan bebas, telus - Mohamed Khaled | 

Malaysia Berada Di Landasan Kukuh, Sasar Capai KDNK Antara 4-4.5 Peratus Pada 2026 - Menteri Kewangan II

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2026 dibuat dengan mengambil kira persekitaran ekonomi dunia yang sedikit perlahan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia dilihat berada di landasan lebih kukuh berbanding negara-negara lain

“Justeru, sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 4.5 peratus adalah angka yang memberangsangkan dan mampu memudahkan usaha kita untuk terus membangunkan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2026 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata walaupun bayaran dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada kerajaan Malaysia dijangka lebih rendah pada 2026 berbanding tahun sebelumnya, ia tidak menjejaskan peruntukan kerajaan untuk menghasilkan Belanjawan 2026.

Menurut laporan media, syarikat minyak dan gas nasional itu dijangka membayar dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan tahun depan, lebih rendah berbanding RM32 bilion pada tahun sebelumnnya.

Amir Hamzah berkata penurunan harga minyak dunia akan memberi kesan kepada bayaran dividen kepada kerajaan.

"Apa yang penting untuk kita ialah Petronas terus mempunyai dana mencukupi untuk membangunkan industri petroleum di dalam dan luar negara supaya pulangannya (keuntungan) dapat pulang ke Malaysia," katanya.

-- BERNAMA