Belanjawan 2026 Seimbangkan Fiskal Dengan Pertumbuhan Jangka Panjang -- FMM
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 dianggap belanjawan yang seimbang dari segi hala tuju utamanya kerana ia meneruskan usaha konsolidasi fiskal kerajaan melalui langkah-langkah pengurangan defisit, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
FMM dalam satu kenyataan memuji matlamat belanjawan untuk mengurangkan sasaran defisit 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 kepada 3.5 peratus pada 2026 di bawah kerangka tanggungjawab fiskal kerajaan MADANI.
Pertubuhan itu berkata belanjawan kali ini juga memuaskan dari segi hasil dengan hasil persekutuan dijangka meningkat kepada RM343.1 bilion pada 2026 daripada RM334.1 bilion pada 2025.
"Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pematuhan cukai yang lebih baik melalui inisiatif seperti invois elektronik, penilaian kendiri untuk duti setem dan pengenalan setem cukai digital untuk membendung pemalsuan," katanya.
FMM juga memuji komitmen kukuh kerajaan untuk memperkasakan sektor-sektor berteknologi tinggi dan bernilai tinggi terutamanya industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor melalui inisiatif pembiayaan dan pelaburan yang disasarkan.
Ini turut meningkatkan keupayaan industri tempatan, mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan mempercepatkan perubahan Malaysia menjadi hab serantau bagi pembuatan dan teknologi maju, katanya.
Walaupun belanjawan ini memberi tumpuan yang tepat kepada keutamaan jangka panjang seperti pendigitalan, peralihan tenaga dan pertumbuhan hijau, FMM menyuarakan kebimbangan iaitu ia tidak memberi sokongan yang lebih kukuh kepada sektor pembuatan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk melabur dalam inovasi.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) melihat Belanjawan 2026 sebagai satu langkah positif ke arah membina persekitaran perniagaan yang lebih boleh dijangka, kompetitif dan mampan.
Dewan perniagaan itu memuji kerajaan kerana meneruskan perjalanan yang mantap ke arah disiplin fiskal serta ketahanan ekonomi bersama-sama dengan langkah-langkah yang disasarkan untuk meringankan tekanan kos ke atas perniagaan, mempromosikan inovasi selain mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk perdagangan dan pelaburan.
MICCI berkata pelaksanaan penuh inisiatif invois elektronik bermula pada 2026 bersama-sama dengan pengenalan sistem penilaian kendiri untuk duti setem dan pemprosesan pulangan cukai yang lebih cepat, mencerminkan pendekatan yang lebih telus serta mesra perniagaan terhadap percukaian.
Menurut MICCI, belanjawan ini mengesahkan komitmen kerajaan terhadap pembinaan negara yang terangkum dan mampan selain gabungan insentif fiskal yang disasarkan, langkah pembangunan modal insan serta peruntukan penguatkuasaan yang dipertingkatkan meletakkan asas untuk kekuatan dan kestabilan ekonomi jangka panjang.
Terdahulu, Belanjawan 2026 dibentangkan hari ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
-- BERNAMA