BERITA TERKINI   Krisis tenaga global: Pengguna meter pintar disaran beralih ke skim Time-of-Use tarif, jimat 5-10 peratus dengan kadar tarif rendah - Suruhanjaya Tenaga | Hampir 9.2 juta pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia nikmati Insentif Cekap Tenaga berjumlah RM2.8 bilion sejak diperkenalkan - Suruhanjaya Tenaga | Krisis tenaga global: Pengguna domestik dengan kadar penggunaan bulanan 600 kWj ke bawah dikecualikan daripada pelarasan kos AFA - Suruhanjaya Tenaga | Krisis tenaga global : Kos penjanaan elektrik terkawal melalui kepelbagaian sumber tenaga, pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) - Suruhanjaya Tenaga | MB Selangor wakili PM Anwar ketuai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza - Pejabat MB | 

Peruntukan RM63 Juta Cermin Keprihatinan Kerajaan Terhadap Industri Sawit - MPOB

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peruntukan khusus kepada sektor sawit di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap industri itu sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara serta kesejahteraan pekebun kecil dan tenaga kerja tempatan.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 turut menampilkan kesungguhan kerajaan terhadap kelangsungan serta daya saing industri sawit.

“Belanjawan ini memperkukuh komitmen kerajaan terhadap industri sawit sebagai sektor strategik negara.

“Penekanan terhadap inovasi, automasi dan kemampanan bukan sahaja menjamin daya saing industri, malah membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk turut terlibat dalam ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tambah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pelaksanaan penanaman semula, pengukuhan pensijilan MSPO serta pembangunan teknologi automasi ladang akan terus diperkasakan bagi memastikan industri sawit Malaysia kekal sebagai peneraju global minyak sawit mampan yang berdaya tahan dan berimpak positif terhadap ekonomi, masyarakat dan alam sekitar.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM63 juta untuk memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit dan menggalakkan pensijilan mampan termasuk oleh pekebun kecil persendirian.

Langkah ini penting dalam menangkis salah tanggap pada peringkat antarabangsa dan mengukuhkan reputasi minyak sawit Malaysia sebagai minyak sayuran yang bebas lemak trans dan dihasilkan secara mampan.

Selain itu, peruntukan RM20 juta turut disediakan untuk menggalakkan pengeluaran produk mekanisasi dan automasi ladang sawit oleh syarikat tempatan dengan sokongan MPOB.

-- BERNAMA