BERITA TERKINI   Intitusi pondok dan tahfiz perlu lakukan penyesuaian termasuk kuasai teknologi digital dan AI - PM Anwar | Kerajaan lulus RM34.81 juta tahun ini untuk laksana 137 projek pembaikan kecil pondok dan tahfiz di seluruh negara - PM Anwar | Penguatkuasaan tegas banteras rasuah, kegiatan kartel untuk bersihkan negara diteruskan - PM Anwar | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS, Naik Berbanding Mata Wang Utama

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri minggu ini dengan ditutup rendah berbanding dolar AS, mencerminkan kekuatan baharu dan berterusan unit negara maju itu, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2200/2260 berbanding dolar AS, menyusut daripada 4.2140/2195 semasa ditutup pada Khamis.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan dolar AS pada awalnya berpunca daripada perkembangan di Jepun dan Perancis dan seterusnya berkembang sebagai penilaian semula yang lebih menyeluruh ke atas kedudukan jualan pendek terhadap dolar.

"Peningkatan dolar AS pada minggu ini bukan sahaja mencerminkan permintaan terhadap aset selamat, malah sebagai penyesuaian semula sentimen terhadap pertukaran mata wang asing global dalam keadaan ketidaktentuan dasar dan politik yang semakin meningkat," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata pergerakan ringgit seharusnya dilihat terutama sebagai kesan luaran daripada dinamik dolar, dan bukan mencerminkan asas ekonomi domestik.

“Laluan konsolidasi fiskal yang mampan dan sentimen pelabur yang lebih baik selepas Belanjawan 2026 kekal menyokong kestabilan ringgit dalam jangka sederhana,” katanya.

Bagaimanapun dalam masa terdekat, langkah pelabur di seluruh dunia yang kembali memilih dolar AS sebagai aset selamat selain gangguan sementara daripada penutupan kerajaan Amerika Syarikat telah meningkatkan tekanan menurun ke atas mata wang sedang pesat membangun termasuk ringgit.

Sementara itu, ringgit meningkat berbanding sekumpulan mata wang utama. Mata wang itu menokok berbanding euro kepada 4.8838/8907 daripada 4.8988/9044 semasa ditutup pada Khamis.

Ringgit ditutup bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN. Mata wang itu menokok berbanding baht Thailand kepada 12.8942/9184 daripada 12.9323/9505 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2494/2543 daripada 3.2534/2568.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.24/7.26 daripada 7.23/7.24 dan mencatat sedikit perubahan berbanding rupiah Indonesia kepada 254.6/255.1 daripada 254.3/254.7.

-- BERNAMA